PendapatUtama

Jawi: Islamophobia ciptaan DAP

Kerajaan PH patut perluas tulisan jawi di bandar melalui papan tanda

TULISAN jawi, tulisan yang beridentitikan kekuatan sesuatu bangsa yang dominan diikuti dengan asimilasi kaum lain menggunakannya dalam wahana ilmu di tanah air sejak sebelum negara ini belum mencapai kemerdekaan lagi mutakhir ini dibincang secara meluas di halaman muka hadapan akhbar arus perdana. Tidak kurang juga di media elektronik.

Perkembangan tulisan ini, dari dieja dengan baris Arab, hinggalah disesuaikan dengan sistem pendidikan di Malaysia hari ini secara umumnya didominasi dengan merujuk tatabahasa Melayu dan berasaskan suku kata, terbuka dan tertutup yang disebut juga oleh penggiat tulisan Jawi sebagai berasaskan Jawi lazim.

Pihak yang bertanggungjawab menyelaraskan kesempurnaan ejaan Jawi ini ialah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Terkini, pihak Dewan Bahasa akan mengemas kini lagi keseragaman kaedah menulis dan mengeja Jawi dalam satu dokumen yang menjadi pedoman seluruh rakyat Malaysia.

Penerusan dan kesinambungan tulisan Jawi yang menjadi mercu tanda kejayaan dakwah Islam satu ketika dahulu kini telah diluaskan konsepnya menjadi salah satu tulisan yang mampu digunakan dalam berbagai disiplin ilmu.

Sekalung tahniah kepada pihak DBP atas usaha yang dipelopori sejak sekian lama terhadap kelestarian tulisan Jawi.

Penulis sebagai penggiat Jawi di lapangan melibatkan guru dan murid, merasa terpanggil untuk menyentuh sedikit rasa kurang senangnya atas campur tangan dalam memartabatkan tulisan ini dalam masyarakat berbilang kaum.

Penerimaan tanpa bahas oleh masyarakat berbilang kaum sehingga mampu menulis dan membaca tulisan Jawi, di negara kita satu ketika dahulu langsung tidak menimbulkan pertikaian dan malah menimbulkan keserian penuh kemeriahan untuk mengukuhkan hubungan kaum yang menjadi majoriti di negara ini.

Namun kini, wajah sebenar yang mempertikaikan tulisan jawi semakin terserlah cita rasa sebenar mereka apabila kuasa diraih secara demokrasi.

Pihak DBP yang sekian lama mengusahakan tulisan Jawi yang selaras bukan badan agama dan bukan juga satu badan untuk satu kaum, malah meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dipersada bumi dengan penuh bertanggungjawab begitu juga dengan tulisan Jawi, tulisan kedua yang rasmi digunakan di negara ini.

Fobia dengan anutan Islam yang kuat di negara ini juga menyebabkan pihak DAP dengan rakan sekutu sebangsa mereka merancakkan kempen untuk menolak tulisan Jawi.

Pernah terkeluar kata-kata yang sinis apabila kerajaan negeri Kedah di bawah teraju pimpinan PAS satu ketika dahulu untuk meletakkan papan tanda dalam tulisan Jawi dan meletakkan nama tempat juga dalam tulisan Jawi, ditohmahnya kerajaan pada waktu itu dengan “semua itu bunga-bunga ke arah menggubal hukum hudud!”

Sepatutnya demi menunjukkan komitmen Kerajaan PH yang berwajah baru, tulisan Jawi yang kian malap dalam kalangan generasi muda diangkat dan dijulang serta dimartabatkan setinggi-tingginya, biar rakyat merasakan kelainan dan perbezaan dengan kerajaan terdahulu.

Tulisan Jawi biarlah difahami dan dihayati sebagai satu medium pilihan utama rakyat yang perlu dimartabatkan. Difahami dan dihayati oleh rakyat berbilang kaum, sepatutnya Kerajaan PH meluaskan penggunaan tulisan Jawi di bandar-bandar besar melalui pemasangan papan tanda nama-nama tempat.

PH, sebesar namanya, perlukan perubahan yang diharapkan oleh rakyat, melalui agenda perkasakan warisan sejarah lampau yang masih utuh hingga kini, tulisan Jawi.

Namun kini, apabila suara untuk diterapkan dalam sukatan pelajaran di sekolah lantas pada waktu yang sama bangun dengan lantangnya suara menentang dan menolak begitu drastik sekali!

Para Menteri yang dahulunya mempunyai suara keras lantang untuk mempertahankan segala bentuk yang berkait dengan Islam dan apa saja yang berkait dengan warisan ulama semua menyepi dan tidak berfungsi seperti sepatutnya.

Ustaz Sabri Azit
Munsyi Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka merangkap Ahli Parlimen Jerai

Sumber asal: Harakahdaily.net

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close