Berita UtamaIstimewaUncategorizedUtama

Korban: Tak perlu pertikai hak orang Islam beribadah

Hormati hak agama lain tanpa melampaui batas toleransi: Firdaus Wong

BANGI, 10 Zulhijjah 1440H, Ahad – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hun mengingatkan masyarakat berlainan bangsa dan agama untuk saling menghormati antara satu sama lain tanpa melampaui batasan toleransi yang diamalkan di negara ini.

Kenyataan beliau itu dipercayai merujuk tindakan segelintir pihak mempertikaikan amalan ibadah korban yang dilaksanakan umat Islam pada Hari Raya Aidiladha.

Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) itu berkata, mana-mana kaum bebas mengamalkan agama masing-masing dan tidak perlu untuk mencampuri urusan serta amalan agama Islam.

“Anda menghormati lembu seperti ibu atau ingin mempertuhankan apa sekalipun, itu adalah hak anda. Anda tidak mahu makan lembu, itu hak anda. Kami tak paksa anda makan atau sembelih lembu bersama dengan muslim pada Aidiladha.

“Soal isu berkongsi video sembelihan lembu, itu perbincangan lain. Hak masing-masing nak post apa di Facebook, selagi tidak menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Firdaus Wong berkata, sebagai muslim beliau juga tidak bersetuju jika ada mana-mana pihak yang memuat naik video dengan kenyataan menghina agama lain.

Bagaimanapun, katanya, sebagai negara yang berbilang kaum dan agama, semua pihak digesa supaya tidak mencampuri dan menghormati urusan agama orang lain, khususnya Islam.

“Anda meminta muslim menjaga sensitiviti anda yang tidak makan daging lembu kerana anda menganggapnya seperti ibu.

“Bagaimana pula dengan sensitiviti masyarakat lain melihat beratus ribu biji buah kelapa dibuang dan gambar-gambar manusia yang dicucuk sana sini ketika perayaan yang dikongsikan di media sosial? Itu hak anda dan kami tidak pertikai selagi tidak melanggar undang-undang negara,” katanya.

Beliau berkata, orang Islam tidak pernah mencampuri urusan di kuil, apatah lagi mempertikaikan cara beribadah agama lain di negara ini.

“Maka hormatilah hak muslim beribadah ikut cara kami, bukan cara anda. Jagalah keharmonian negara.

“… dan mohon pihak berkuasa ambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekacauan dengan menyentuh hak mana-mana penganut agama mengamalkan agama mereka,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close