Berita UtamaIstimewaUtama

Ibadah korban bertujuan perbetulkan tasawwur hidup

Jadikan ibadah korban landasan kesatuan umat tanpa perbezaan

MAJLIS Ulama ISMA (MUIS) mengucapkan selamat menyambut Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya muslimin di Malaysia. Moga Allah menerima segala amalan-amalan soleh kita ketika 10 hari awal Zulhijjah serta menerima ibadah korban yang bakal kita lakukan pada hari yang mulia ini.

Hayatilah ibadah korban yang dilakukan pada hari ini sebagai suatu simbol kesatuan umat Islam. Umat yang saling membantu antara satu sama lain tanpa mengira pangkat atau kedudukan serta umat yang sentiasa bersepakat dalam menegakkan makruf (ibadah korban) dan mengalang segala bentuk kemungkaran. Jadikan ibadah korban ini sebagai landasan kesatuan umat tanpa melihat titik perbezaan yang wujud.

Hayatilah darah-darah sembelihan korban yang ditumpahkan pada hari ini sebagai suatu simbol perlunya pengorbanan dalam kehidupan seorang muslim. Hanya dengan pengorbanan, kesetiaan serta kesungguhan yang berterusan dapat meletakkan kembali umat ini pada kedudukan asal sebagai pewaris alam ini. Semakin besarnya cita-cita, semakin besar jugalah pengorbanan yang dituntut terhadap setiap daripada kita.

Moga dengan takbir yang kita laungkan berhari-hari sepanjang Aidiladha ini dapat kembali memperbetulkan tasawwur hidup kita sebagai seorang mukmin. Peranan sebagai seorang khalifah yang menjadi beban amanah pada setiap kita serta ibadah yang sepatutnya melestari seluruh urusan kehidupan kita hendaklah dijadikan agenda utama setiap daripada kita pada setiap peringkat bermula individu, keluarga, masyarakat hinggalah dalam mentadbir sesebuah negara itu sendiri.

Yang Allah ingin lihat pada perayaan ini bukanlah sebanyak mana darah sembelihan yang telah kita tumpahkan, tetapi yang lebih utama bagaimana dengan ibadah korban ini akhirnya dapat meningkatkan taqwa dalam jiwa kita.

Sepertimana ibadah puasa Ramadan hadir untuk membangunkan taqwa begitu jugalah ibadah korban hadir untuk menyuburkan taqwa dalam jiwa umat ini.

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.

Ibn Kathir menyebut laungan takbir yang kita laungkan itu adalah lambang kesyukuran atas anugerah hidayah kebenaran serta anugerah kekuatan dalam melaksanakan syariat wahyu itu pada semua peringkat dalam kehidupan kita. Nah, cuba kita fikirkan layakkah kita melaungkan takbir sedangkan dalam jiwa masih lagi mengaungkan falsafah-falsafah barat, mengagungkan hawa nafsu dan tidak bersifat bulat terhadap syariat.

Maka hakikatnya ibadah korban yang hadir itu bertujuaan meletakkan diri kita kembali diatas ‘sirat al-mustaqim’ yang kita impikan dalam solat kita seharian. Moga dengan darah yang tumpah pada hari ini akan kembali menyedarkan umat ini daripada lenanya.

Moga Allah menerima amalan kita semua pada hari yang mulia ini.

Dr Mohd Soberi Awang
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close