Kolumnis

Noktah kekuatan Siti Hajar

Wanita perlu jiwa kuat, kental seperti cekalnya isteri Nabi Ibrahim

DALAM menghadapi pancaroba hidup yang semakin mencabar, wanita memerlukan suntikan dan semangat sebagai bekalan dalam perjalanan. Tekanan demi tekanan yang dihadapi membuatkan sebahagian wanita tersungkur. Namun, ada juga yang gagah menghadapinya dengan tabah.

Suri rumah dengan tekanan sebagai suri rumah manakala wanita bekerjaya dengan tekanan dengan kerjayanya. Sejarah telah membuktikan ramai wanita boleh dijadikan contoh dan teladan, dan antaranya adalah Siti Hajar isteri Nabi Ibrahim.

Tekanan yang dihadapi oleh Siti Hajar bukanlah sedikit. Ujian yang dilalui mencabar kesabaran seorang wanita. Namun, kisahnya menjadi sandaran bahawa pada Siti Hajar terdapat kekuatan yang boleh dijadikan contoh.

Keyakinan teguh kepada Allah

Dalam melalui kehidupan, kekuatan utama yang semestinya ada pada seorang wanita muslimah adalah pergantungannya yang tinggi kepada Allah. Keyakinannya bahawa Allah sentiasa akan membantu dan bersama memberikan kekuatan untuk melalui liku-liku kehidupan dengan penuh tabah dan sabar.

Iman Siti Hajar yang teguh membuatkan baginda menerima perintah untuk tinggal di Makkah dengan penuh taat.

“Adakah Allah SWT memerintahkan tuan melakukannya?,” soal Siti Hajar kepada Nabi Ibrahim yang akhirnya memberikan jawapan kepada ketaatan Siti Hajar terhadap perintah Allah tanpa sebarang keraguan.

Manifestasi kerelaan siti Hajar untuk tinggal di Makkah yang kering kontang setelah mengetahui ia adalah arahan dari Allah adalah bertitik tolak dari kepatuhannya kepada Allah. Begitu juga kerelaanya untuk mengorbankan anaknya Ismail untuk disembelih juga adalah bertitik tolak dari akidahnya yang kuat dan ketaatannya kepada Allah SWT.

Diketepikan semua rasa sedih dan kebimbangan, lantas diletakkan segala pengharapan dan pergantungan kepada hanya Allah. Ya, semuanya lahir dari keimanan dan keyakinan yang teguh kepada Allah.

Baginda yakin bahawa jika ia merupakan perintah Allah pastinya Allah akan sentiasa bersamanya. Bagi Siti Hajar, imannya perlu dibuktikan dan diterjemahkan dengan tindakan.

Cekal dan tabah dengan ujian

Kecekalan Siti Hajar jelas pada tindak tanduknya apabila baginda sabar dalam menghadapi kepayahan dan kesusahan dirinya yang ditinggalkan di padang pasir dengan anak yang kecil dengan hanya berbekalkan sebekas kurma dan sekantung air bukan senang untuk dilalui.

Apabila bekalan Siti Hajar habis, berlari-larilah Siti Hajar antara bukit Safa dan Marwa mencari-cari air. Mana mungkin seorang yang tidak punya jiwa yang kental mampu melalui kepayahan-kepayahan tersebut.

Walau begitu sulit dan payahnya Siti Hajar pada saat itu, namun baginda tetap reda tanpa mengeluh walau sedikit pun atas apa yang berlaku. Dari manakah kekuatan Siti Hajar dalam mengharungi kepayahan ini? Ya, semuanya dari rasa tawakal yang tinggi dan penyerahan yang mutlak kepada Allah SWT.

Kuat hadapi godaan syaitan

Hati akan sentiasa diuji dengan nafsu dan godaan syaitan. Tambahan lagi kehidupan dalam dunia masa kini yang dipenuhi dengan pelbagai tipu daya dan keindahan dunia. Semuanya menjanjikan kecantikan dan keindahan yang sekiranya tersilap pilih boleh membawa seseorang jauh dari Islam yang sebenar.

Naluri keibuan Siti Hajar diuji tatkala turunnya perintah Allah agar anak kesayangannya Nabi Ismail disembelih. Kekuatan Siti Hajar dalam melawan godaan syaitan, tatkala membisikkan agar baginda menghalang Nabi Ibrahim dari menyembelih anaknya memberikan teladan terbaik buat wanita di mana seorang wanita perlu kuat dalam menahan diri dari godaan nafsu dan syaitan.

Siti Hajar yakin bahawa suaminya tidak melakukan demikian melainkan ia adalah suruhan dari Allah SWT. Namun ujian terhadap Siti Hajar menjadi berita gembira kerana Allah akhirnya menggantikan anaknya dengan kibasy.

Tiga noktah di atas merupakan titik penting yang ada pada diri Siti Hajar. Ia juga merupakan kekuatan yang perlu ada pada setiap wanita. Wanita perlu punya jiwa yang kuat dan kental dalam mengharungi kehidupan.

Dengan tugasan sebagai seorang isteri dan ibu sama ada bekerja atau pun tidak, dalam suasana yang mencabar saat ini, sangat memerlukan seorang wanita yang kuat spiritual dan jiwanya.

Ustazah Suriani Sudi
Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close