Berita UtamaPendapatUtama

3 peristiwa sempena Aidiladha

Binatang sembelihan ganjaran Nabi Ibrahim A.S ikut perintah Allah SWT

ESOK umat Islam akan bersama-sama menyambut Hari Raya Aidiladha yang juga dikenali sebagai hari raya haji atau hari raya korban. Ia bukan sahaja untuk meraikan kejayaan umat islam mengerjakan ibadah haji malah, di sebaliknya terdapat tiga peristiwa bersejarah yang wajar kita jadikan iktibar dan pengajaran.

1) Siti Hajar dan Nabi Ismail A.S ditinggalkan di padang pasir

Peristiwa pertama adalah kisah Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada Nabi Ibrahim A.S agar meninggalkan mereka di satu kawasan padang pasir yang tandus dengan hanya berbekalkan seberkas kurma dan sekantung air. Ajaibnya, padang pasir yang tandus itu kini menjadi tumpuan jutaan umat islam menunaikan rukun islam yang kelima iaitu Makkah Al-Mukarramah.

2) Peristiwa Nabi Ibrahim A.S diperintah Allah SWT menyembelih Nabi Ismail A.S

Peristiwa kedua adalah ibadah korban dilakukan sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S, yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail A.S. Namun, berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini, maka Allah SWT telah menggantikannya dengan seekor binatang ketika Nabi Ibrahim A.S sudah bersedia menyembelih anaknya itu.

Peristiwa ini telah dirakamkan oleh Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT:
“Maka, ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya-Allah, ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.”

Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah SWT itu), Nabi Ibrahim A.S merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami). Lantas Kami menyerunya:

“Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar serta kami kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang terkemudian.” Surah al-Soffaat: 101-108.

3) Peristiwa pembinaan semula Kaabah

Peristiwa ketiga ialah pembinaan semula Kaabah oleh kedua-dua Nabi Allah SWT yang mulia ini. Allah SWT mengutuskan Nabi Ibrahim A.S untuk membina kembali Kaabah. Mematuhi perintah Allah SWT itu, Nabi Ibrahim A.S dan anaknya, Nabi Ismail A.S membina semula Kaabah di atas timbunan batu dan tanah liat daripada bekas binaan Kaabah, yang pernah dibuat oleh Syith yang runtuh akibat banjir dan taufan pada zaman Nabi Nuh A.S.

Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim A.S adalah daripada batu dari tujuh bukit di sekitar kota Makkah. Binaan Kaabah kali ini mempunyai dua sudut utama iaitu sudut Rukun Al-Hajarul Aswad dan Rukun Yamani dan satu sudut berbentuk melengkung pada bahagian yang bertentangan dengan kedua-dua sudut.

“Dan (ingatlah), ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Jadikanlah sebahagian makam Ibrahim tempat solat.” Al-Baqarah: 125

Ustazah Wirdaningsih Ahmad
Ketua Wanita Isma Cawangan Shah Alam

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close