Berita UtamaUncategorizedUtama

Jangan sentuh Jalur Gemilang

Kim Yew patut hitamkan wajah sendiri bukan bendera Malaysia

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 8 Zulhijjah 1440H, Jumaat – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mengecam tindakan Pengerusi Country Height Holding Berhad, Tan Sri Lee Kim Yew menghina Jalur Gemilang yang menjadi lambang kedaulatan negara.

Setiausaha Agungnya, Eqwan Roslan berkata, sebagai rakyat Malaysia, Kim Yew tidak sepatutnya menyasarkan bendera Malaysia sebagai tempat protesnya terhadap kerajaan.

Selasa lalu, tokoh perniagaan itu dikecam teruk pengguna media sosial selepas memuat naik sekeping foto yang menunjukkan jalur warna putih pada bendera Malaysia ditukarkan kepada warna hitam.

Tindakan menukar warna Jalur Gemilang itu dipercayai sebagai tanda protes dalam isu pengenalan tulisan khat yang akan dilaksanakan kerajaan mulai tahun depan.

Difahamkan, perbuatan itu kononnya mahu menyindir Kementerian Pendidikan yang mungkin akan menukarkan warna bendera tersebut sama seperti menukar warna kasut sekolah daripada putih kepada hitam.

Menyifatkan ia sebagai melampau, Eqwan berkata, pemilik syarikat Country Height dan The Mines itu patut dikenakan tindakan undang-undang kerana menghina Jalur Gemilang.

“Kita juga mencadangkan supaya kerajaan menarik balik sebarang pingat dan gelaran yang diberikan kepadanya. Beliau sepatutnya bersyukur kerana diberi peluang mengutip kekayaan di tanah ini, jadi tak perlulah nak menghina lambang serta simbol kedaulatan negara.

“Kita juga nak ingatkan dia supaya tidak tonjolkan sikap tak setia dan khianat kepada negara. Daripada dia hitamkan bendera kebangsaan, baik dia hitamkan wajahnya sendiri. Jangan sentuh bendera Malaysia,” katanya.

Berikutan teruk dikecam, Kim Yew melalui kenyataan di Facebooknya semalam, membuat permohonan maaf atas perbuatan itu dan berharap perkara sama tidak diulangi oleh generasi muda.

“Saya telah membetulkan semula grafik bendera Malaysia kepada keadaan asal dan memastikan ia tidak akan ditukar lagi. Berdasarkan pengalaman ini, saya ingin menasihatkan kepada generasi akan datang supaya jangan sama sekali menukar warna, grafik atau fizikal bendera,” kata Kim Yew.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close