Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

100,000 rakyat Syria hilang diculik rejim al-Assad sejak 2011

UNHCR gagal selamatkan tahanan Syria daripada rejim pengganas

DAMASCUS, 8 Zulhijjah 1440H, Jumaat – Lebih 100,000 rakyat Syria hilang, diculik atau ditahan sejak awal perang saudara lapan tahun lalu, kata Ketua Politik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rosemary DiCarlo.

Serentak itu, beliau menggesa semua pihak yang bertanggungjawab ke atas kehilangan warga Syria, memulangkan serta memberi maklumat kepada keluarga mereka.

Beliau berkata, jumlah 100,000 warga Syria yang hilang adalah anggaran kasar dan PBB tidak dapat mengesahkan angka sebenar, kerana lokasi tapak tahanan mereka belum lagi dapat diakses dan dikesan.

Katanya, maklumat yang didapati disahkan oleh Suruhanjaya Siasatan di Syria – yang juga disahkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) serta organisasi hak asasi manusia sejak konflik bermula pada tahun 2011.

Beliau berkata demikian dalam majlis semalam, yang turut dihadiri ahli keluarga warga Syria yang hilang berikutan diculik oleh rejim Bashar al-Assad.

Seorang daripada wakil keluarga, Amina Khoulani bersaksi bahawa tiga adiknya telah diculik oleh rejim Syria pada lapan tahun lalu dan meninggal dunia ketika dalam tahanan, manakala suaminya ditahan selama dua tahun dan terselamat, sementara dirinya pula dipenjarakan selama enam bulan.

Katanya, UNHRC telah gagal menyelamatkan tahanan Syria serta keluarga daripada rejim pengganas Syria.

“Menjadi tanggungjawab anda (UNHRC) untuk melindungi warga Syria daripada ditindas, diseksa, dibunuh serta ditahan secara paksa, dan ini sememangnya melanggar melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, rejim al-Assad menyifatkan tindakan PBB mempertahankan warga Syria sebagai satu pengkhianatan serta menolak untuk menjalinkan kerjasama dengan organisasi itu.

Timbalan Duta Moscow, Dmitry Polyansky berkata bahawa rejim Syria mendakwa kononnya tidak diberi peluang untuk memberi sebarang penjelasan tentang kehilangan warga Syria, padahal mereka secara terang-terangan menghalalkan darah warganya sendiri dengan melancarkan pembunuhan penduduk tidak bersalah secara beramai-ramai.

Sejak perang saudara, terutamanya dalam beberapa bulan lalu, rejim Syria dilaporkan dengan biadabnya menindas rakyat yang tidak bersalah seperti menculik, merogol, menyeksa serta menyediakan penjara yang tidak terurus.

Pada Jun lalu, Rangkaian Hak Asasi Manusia Syria pula melaporkan lebih 14,000 warga negara itu terkorban akibat diseksa oleh rejim al-Assad sejak bermulanya perang saudara.

Minggu lalu, Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria pula mendedahkan bahawa pada bulan Julai tahun ini sahaja, seramai 598 warga Syria telah sewenang-wenangkan ditahan oleh rejim al-Assad. -Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close