Berita UtamaIstimewaUtama

Fuziah usah tegak benang basah

MP Kuantan beri fakta tak tepat isu Lynas, lebih sentimen politik

BANGI, 7 Zulhijjah 1440H, Khamis – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) mengkritik tindakan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang membuat pusingan U berhubung operasi kilang nadir bumi, Lynas Corporation Ltd (Lynas).

Presiden Berjasa, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, Fuziah dilihat seolah-olah menegakkan benang yang basah apabila enggan menerima kebenaran, bahkan turut menuding jari kepada pihak lain termasuk rakan-rakannya dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Tidak hairanlah banyak pihak termasuk mereka yang bersamanya dahulu (kenyataan Pengerusi ‘Save Malaysia Stop Lynas’, Tan Bun Teet yang disiarkan oleh Malay Mail 1 Ogos lalu), menyatakan kemenangan beberapa penentang Lynas seperti YB Fuziah dalam pilihan raya lalu adalah kerana menunggang isu Lynas,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Dr Badhrulhisham menyifatkan banyak kenyataan Fuziah berhubung isu Lynas dibuat berdasarkan fakta dan maklumat yang tidak tepat serta berasaskan sentimen politik.

“Ini disokong dengan fakta bahawa kilang itu adalah kilang pemprosesan mineral dan kimia, bukan kilang nuklear atau penjana tenaga nuklear; tidak ada penambahan kadar radioaktif semasa pemprosesan; pemantauan berterusan aktiviti radioaktif (oleh AELB dan UMP) telah diperakui dibawah kadar yang selamat dan banyak lagi yang disokong oleh fakta-fakta yang diyakini.

“Berdasarkan laporan itu yang mengambilkira pemantauan, pandangan dan fakta-fakta agensi penguatkuasa seperti AELB, JAS dan lain-lain serta pandangan pakar-pakar tempatan dan antarabangsa, turut menyokong yang sisa itu tidak merbahaya sebagaimana yang digembar-gemburkan,” katanya.

Selain itu, Dr Badhrulhisham yang juga pakar rujuk pemprosesan nadir bumi menyifatkan gesaan Fuziah supaya sisa mengandungi bahan radioaktif daripada kilang Lynas dihantar ke negara asal sekalipun kadar radiasinya mungkin rendah amat janggal kerana ia bukan amalan di seluruh dunia.

“Jika tidak semua sisa hasil daripada pemprosesan getah, kelapa sawit, bauksit, timah dan lain-lain eksport Malaysia akan dikembalikan ke negara kita. Ini tidak pernah berlaku sehingga hari ini,” katanya.

Sebelum ini, Fuziah yang terkesan dengan kritikan negatif rakyat Malaysia akhirnya membuka mulut menjelaskan situasi sebenar Lynas dengan mendakwa kerajaan tersepit kerana pihak yang mendapat manfaat hasil nadir bumi yang diproses kilang itu ialah Jepun.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini adalah antara yang lantang mengkritik Lynas dan menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai punca hutang negara terlalu tinggi sehingga menekan negara meminjam wang daripada Jepun.

Kerajaan dilaporkan akan mengumumkan keputusan memperbaharui lesen operasi Lynas di Gebeng selewat-lewatnya 15 Ogos ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, kerajaan juga akan mengumumkan keputusan sama ada pembuangan sisa radioaktif daripada loji pemprosesan Lynas perlu dihantar ke negara asal Australia atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Reuters yang memetik sumber dalaman melaporkan bahawa kerajaan bercadang untuk menyambung lesen operasi Lynas untuk menjalankan operasi pemprosesan nadir buminya di negara ini.

Tempoh sambungan itu adalah lebih singkat berbanding tempoh tiga tahun yang diberikan sebelum ini.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close