Berita Utama

Ibu mualaf gagal dapat kebenaran merayu kembalikan status agama Islam 2 anaknya

Panel 3 hakim Mahkamah Persekutuan tolak permohonan itu

PUTRAJAYA, 10 Ramadan 1443H, Selasa – Seorang ibu yang memeluk Islam dan Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan tidak boleh meneruskan rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan semula penukaran agama dua anaknya kepada Islam, yang dilakukannya secara unilateral.

Ini susulan keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan mereka untuk kebenaran meneruskan rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan.

Dalam kes sivil, kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum mereka boleh meneruskan rayuan mereka.

Setelah Mahkamah Persekutuan tidak memberikan kebenaran kepada ibu kanak-kanak itu dan Pendaftar Muallaf, keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 Oktober 2018, membatalkan penukaran agama Islam secara unilateral dua anak yang dilahirkan dalam perkahwinan sivil, kekal.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf yang bersidang bersama hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Nallini Pathmanathan memutuskan bahawa isu dalam kes berkaitan undang-undang pentadbiran sama ada penukaran agama kanak-kanak yang didaftarkan oleh Pendaftar Muallaf adalah mengikut undang-undang adalah sama dengan kes Indira Gandhi seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Rohana berkata isu tafsiran Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan juga telah diselesaikan dalam keputusan kes Indira Gandhi.

Dalam kes Indira Gandhi, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan, pada Januari 2018, bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan sebelum anak yang dilahirkan dalam perkahwinan sivil boleh memeluk agama Islam.

Indira Gandhi, seorang ibu beragama Hindu, telah mencabar penukaran agama tiga anaknya, dilakukan secara unilateral oleh bekas suaminya yang memeluk Islam.

“Kami mengulangi bahawa adalah pendirian kami bahawa mahkamah perlu mematuhi doktrin (doktrin stare decisis) dengan tegas untuk mengekalkan kepastian dalam undang-undang dan kami mengatakan ini bukan kes yang sesuai untuk tidak mengikuti keputusan kami sebelum ini,” kata Rohana dalam prosiding mahkamah yang dijalankan secara maya.

Doktrin stare decisis ialah doktrin undang-undang yang mengikat mahkamah untuk mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh mahkamah terdahulu mengenai kes yang serupa.

Hakim itu berkata bukanlah fungsi mahkamah untuk memastikan kemampuan seseorang yang ingin menukar agama kepada agama lain.

“Fungsi mahkamah terhad kepada aspek pentadbiran fungsi awam Pendaftar Muallaf yang perlu dilaksanakan mengikut undang-undang,” kata hakim itu.

Beliau berkata ibu itu dan Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan tidak boleh diberi kebenaran untuk meneruskan rayuan mereka kerana mereka gagal memenuhi syarat di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Bapa kanak-kanak itu, penganut agama Buddha, telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan penukaran agama dua anaknya yang masih kecil yang telah memeluk Islam pada Mei 2016 oleh ibu mereka tanpa pengetahuan dan persetujuannya.

Kanak-kanak itu dilahirkan dalam perkahwinan sivil kepada pasangan yang ketika itu beragama Buddha tetapi telah memeluk Islam secara sepihak oleh ibu mereka yang memeluk Islam pada 2015. Identiti keluarga itu tidak boleh didedahkan berikutan perintah Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan pada 21 Mei, 2018.

Bapa kanak-kanak itu berjaya dalam usaha mendapatkan semakan kehakiman untuk membatalkan penukaran agama Islam secara unilateral anak-anaknya. Ibu kanak-kanak tersebut dan Pendaftar Muallaf gagal dalam rayuan di Mahkamah Rayuan pada 27 Oktober tahun lepas.

Mengenai hak penjagaan anak-anak, keputusan Mahkamah Rayuan pada September 2018 yang memberikan hak penjagaan penuh kepada bapa dikekalkan berikutan kegagalan ibu kanak-kanak itu mendapatkan kebenaran meneruskan rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah mendengar hujahan daripada peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Pendaftar Muallaf, Arham Rahimy Hariri bagi ibu kanak-kanak tersebut, K. Shanmuga bagi bapa dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili ketua pengarah kementerian pendidikan dan kerajaan.

Sulaiman memohon mahkamah supaya memberikan kebenaran atas alasan terdapat 12 persoalan undang-undang untuk Mahkamah Persekutuan menentukan antara lain mengenai isu berkaitan kebajikan dan kepentingan terbaik kanak-kanak itu.

Shanmuga berhujah persoalan undang-undang yang dicadangkan itu melibatkan perkara yang telah diputuskan dalam kes Indira Gandhi.

Shamsul Bolhassan menyokong permohonan untuk mendapatkan kebenaran itu dengan mengatakan bahawa persoalan undang-undang adalah berkaitan dengan hak kanak-kanak itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button