Berita UtamaPendapatUtama

Kerajaan PH akan buat V-Turn lagi?

Amat tidak rasional ketakutan ditunjukkan penentang tulisan khat

SUDAH tidak menghairankan mengapa kelompok yang dikenali sebagai Dong Zong dan Jiao Zong ini terus mendesak dan membantah rancangan pelaksanaan tulisan jawi dan seni khat dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah vernakular.

Merekalah yang konsisten memikir dan merancang sekolah vernakular selama ini, merekalah juga pengelola dan mendesak perlaksanaan peperiksaan UEC, merekalah penghalang kepada integrasi kaum di negara ini.

2. Kenyataan biadap Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng daripada parti tamak haloba DAP juga sungguh tidak bertamadun apabila berkata, “Sedang Menteri Pendidikan di negara-negara jiran merancang memperkenalkan bahasa program komputer kepada pelajar-pelajar muda, jangan kita menyapu najis lembu di muka kita dengan memperkenalkan khat.

Tolonglah. Dia menganggap pelaksanaan tulisan seni khat ibarat ‘menyapu najis lembu ke muka’, ini satu penghinaan kepada orang Melayu dan identiti Malaysia Negara Islam. Dia bagaimanapun memadam sepenuhnya hantaran itu selepas dikecam netizen yang mengganggap kenyataan berkenaan sebagai melampau.

3. Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen pula mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai penolakan DAP Sarawak ke atas rancangan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pada tahun hadapan dengan alasan pelaksanaannya dilihat oleh majoriti rakyat Sarawak, terutamanya masyarakat Cina, dengan “syak wasangka, tentangan dan kebencian” (“suspicion, objection and resentment”). DAP Sarawak akan menyampaikan penolakan ke atas rancangan ini kepada Kabinet pada minggu hadapan.

4. Semalam, 10 pertubuhan Cina dan dua pertubuhan Tamil telah bergabung tenaga bagi membincangkan perkara sama. Mesyuarat 12 pertubuhan ini memutuskan mereka tidak bersetuju dengan rancangan memperkenalkan tulisan khat ini kerana ia didakwa menimbulkan “kebimbangan dan keraguan orang ramai” dan pelaksanaannya diminta ditangguhkan untuk perbincangan semula.

12 pertubuhan ini telah menemui Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching bagi menyampaikan pendirian dan permintaan mereka, termasuk supaya wakil-wakil pertubuhan Cina dan pertubuhan Tamil dilantik untuk menyertai semakan kandungan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dan buku teks itu.

10 pertubuhan Cina terbabit adalah:

(1) Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia, Jiao Zong.
(2) Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, Dong Zong.
(3) Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia, Hua Zong.
(4) The Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia (ACCCIM).
(5) Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah Cina Malaysia.
(6) Gabungan Persatuan Alumni Universiti Taiwan, Malaysia.
(7) Merdeka University Bhd.
(8) LLG Cultural Development Center.
(9) Majlis Bahasa Cina Malaysia.
(10) Persatuan Bekas Siswazah Universiti dan Kolej di China, Malaysia.

Dua pertubuhan Tamil terbabit pula adalah:

(1) Tamil Foundation.
(2) Pertubuhan Titian Digital Malaysia.

5. Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dilaporkan berkata, kerajaan berpegang kepada dasar kemakmuran bersama dan tidak pernah menghalang penggunaan tulisan bahasa lain, sekali gus mengekalkan pendirian meneruskan rancangan penggunaan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4.

6. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata beliau akan membincangkan balik isu tulisan khat ini sejurus Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pulang dari dari lawatan kerja ke Fukuoka, Jepun, pada 8 Ogos ini kerana, kata beliau, “kita ambil maklum keresahan orang ramai dalam isu ini”.

7. Mengikut laporan portal berita The Malaysian Insight, tulisan khat yang diperkenalkan ini sebenarnya hanya memerlukan murid Tahun 4 tersebut belajar menulis dalam bentuk tulisan khat dan memahami contoh penggunaan lima simpulan Bahasa Melayu, iaitu “ringan tulang”, “buah tangan”, “ambil berat”, “ibu kandung” dan “baik hati”, sahaja.

Apakah yang terlalu sensitif sangat dengan lima simpulan Bahasa Melayu yang ditulis dalam bentuk tulisan khat ini sehingga ia kononnya mendatangkan “syak wasangka, tentangan dan kebencian”, menimbulkan “kebimbangan dan keraguan” atau menyebabkan “keresahan”? Akan terjejaskah pegangan agama murid Tahun 4 itu semata-mata kerana mereka dikehendaki menulis dalam bentuk tulisan khat lima simpulan Bahasa Melayu ini? Amat tidak rasional sekali ketakutan yang ditunjukkan oleh penentang tulisan khat ini. Apa agenda mereka sebenarnya?

8. Saya berharap Kerajaan PH tidak tunduk kepada desakan dan tidak membuat v-turn dalam isu pengenalan tulisan jawi dan seni khat di sekolah vernakular ini, jika tidak integrasi kaum akan semakin parah dan golongan pelampau ini akan semakin biadap. Tahniah kepada rakyat Malaysia yang telah bersatu padu mendesak dan bersuara dalam isu ini!

Ustaz Ir Hj Mohd Khoushaini Hj Mohd Naim
YDP ISMA Melaka
Timb Pengerusi UMMAH Melaka

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close