Berita Utama

Isu doktor kontrak dibawa ke Kabinet: KKM

Tunggu keputusan jemaah menteri setelah kertas kerja siap: Dr Adham

PUTRAJAYA, 19 Zulkaedah 1442H, Rabu – Isu pegawai perubatan kontrak yang belum diserap ke jawatan tetap akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. 

Beliau berkata, sehingga 31 Mei lepas terdapat 35,216 lantikan secara kontrak bagi tiga skim utama iaitu Pegawai Perubatan UD41 seramai 23, 077 orang, Pegawai Pergigian UG41 (5,000 orang) dan Pegawai Farmasi UF41 seramai 7,139 individu.

“Saya mohon doktor-doktor yang sedia ada dalam skim kontrak supaya bersabar dan bertenang. 

“Kertas kerja telah disiapkan dan kita akan lihat keputusan jemaah menteri nanti,” katanya ketika ditanya pemberita  mengenai perkara  itu  pada sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di sini hari ini. 

Sebelum ini  Dr Adham berkata, KKM telah melaksanakan penambahbaikan skim pegawai perubatan kontrak iaitu menaikkan gaji dari UD41 kepada UD43 hampir menyamai gaji pegawai perubatan tetap. 

Media melaporkan kira-kira 23,000 doktor berjawatan kontrak akan melakukan Tindakan Hartal Doktor Kontrak atau mogok di seluruh negara yang dijadualkan pada 26 Julai ini. 

Ia berikutan setelah pelbagai cara dilakukan kumpulan berkenaan bagi memastikan mereka diserap ke dalam perkhidmatan tetap, masih gagal. 

Sementara itu, Dr Adham berkata, sejak akhir 2020 hingga kini seramai 200 pegawai psikologi dilantik dan akan disambung perkhidmatan mereka pada 2022 untuk meneruskan penyampaian kesihatan mental kepada barisan hadapan dan masyarakat.

Katanya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,  senario kesihatan mental di negara ini menunjukkan peningkatan impak terhadap permasalahan kesihatan mental.

“Sebanyak 91.2 peratus daripada panggilan talian bantuan yang kami terima, memerlukan sokongan emosi dan kaunseling. 

Antara lainnya kerana faktor seperti stres keterlaluan, murung, hilang harapan untuk meneruskan kehidupan, hilang sumber pendapatan, perselisihan dengan pasangan serta keluarga dan stigma terhadap jangkitan,”katanya. 

Katanya, KKM dan pelbagai kementerian serta jabatan sentiasa bersepadu dalam mengambil inisiatif dari pelbagai aspek bagi menangani masalah kesihatan mental.

Beliau berkata, ia termasuk mempertingkatkan Latihan Bantuan Asas Psikologi kepada barisan hadapan dan anggota agensi lain, pelaksanaan konsep “task shifting” iaitu pemerkasaaan masyarakat dengan memberi latihan dan kemahiran kepada individu di luar KKM untuk menyampaikan advokasi dan sokongan serta intervensi psikososial kepada masyarakat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button