Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Turki lancar operasi sekatan terhadap militan Kurdish

Kami sudah hilang sabar dengan pencerobohan YPG: Erdogan

ANKARA, 4 Zulhijjah 1440H, Isnin – Turki akan menjalankan operasi sekatan di timur Sungai Euphrates terhadap kumpulan militan Kurdish yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS), kata Presiden Recep Tayyip Erdogan semalam.

Erdogan berkata demikian ketika majlis perasmian lebuh raya di negara itu, setelah hilang sabar terhadap kekacauan yang dibuat oleh kumpulan militan pengganas Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG).

YPG adalah sekutu utama AS dalam pertempurannya menentang negara Islam, Syria. Turki menganggap militan YPG adalah cabang gerakan haram Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang melancarkan pemberontakan di negara itu, sejak 1984.

Erdogan berkata, beliau telah memaklumkan operasi sekatan itu kepada AS dan Russia buat kali ketiga dalam beberapa tahun ini.

“Kami memasuki Afrin, Jarablus, al-Bab dan sekarang kami akan memasuki timur Efrat dan berkongsi perkara ini dengan AS dan Russia. Selagi gangguan pencerobohan berterusan, kami tak boleh berdiam diri,” katanya.

Sementara itu, Turki dan AS telah bersetuju untuk mengadakan zon selamat yang bebas daripada militan YPG di sepanjang sempadan timur laut Syria dan Turki, namun, Turki mendakwa Washington telah undur diri dari rancangan itu.

Pada 24 Julai lalu, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu mendedahkan bahawa Ankara menolak rancangan terkini Washington untuk mengadakan zon selamat di Syria, yang disampaikan oleh utusan khusus AS, James Jeffrey minggu itu.

Beliau berkata, Turki bersedia mengambil langkah unilateral. Cavusoglu memberitahu, operasi sekatan yang dirancang terhadap militan Kurdish tahun lepas ditangguhkan atas permintaan Presiden AS, Donald Trump.

Katanya, kedua-kedua negara berkenaan tidak mencapai kata sepakat bagi menentukan siapa yang bakal mengawal kawasan itu atau bagaimana untuk mengusir pasukan YPG dari zon berkenaan.

Pada masa sama, Turki mahukan zon selamat sehingga keluasan 30 kilometer persegi dan dikawal oleh tentera Turki.

Pegawai Turki berkata, AS pula mahu memiliki zon selamat yang lebih kecil yang dikuasai oleh Turki, AS dan negara bersekutu lain seperti Perancis. -Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close