Berita UtamaUtama

Samakan khat dengan tahi lembu, Lip Eng hina orang Melayu

Orang Melayu boleh hilang sabar jika terus ditekan, kata Aminuddin

BANGI, 3 Zulhijjah 1440H, Ahad – Kenyataan seorang pemimpin parti tamak haloba, DAP yang menganggap pelaksanaan tulisan seni khat ibarat ‘menyapu najis lembu ke muka’, disifatkan sebagai satu penghinaan kepada orang Melayu dan negara.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Haji Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan itu tidak wajar ditulis, bahkan dikongsi oleh seorang Ahli Parlimen kerana ia pasti menyinggung perasaan orang Melayu.

“Nampaknya sejak akhir-akhir ini, ada pihak sudah tidak lagi peduli tentang keharmonian hubungan antara kaum. Saya bimbang jika orang Melayu terus ditekan, ada pihak nanti akan hilang kesabaran.

“Orang Melayu sudah bertolak ansur dan memberikan segala ruang kepada bangsa lain, kenapa ada yang masih mahu menekan orang Melayu?,” soalnya dalam satu kenyataan.

Semalam, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dalam hantarannya di laman Facebook berkata, “Sedang Menteri Pendidikan di negara-negara jiran merancang memperkenalkan bahasa program komputer kepada pelajar-pelajar muda, jangan kita menyapu najis lembu di muka kita dengan memperkenalkan khat. Tolonglah.”

Dia bagaimanapun memadam sepenuhnya hantaran tersebut selepas dikecam netizen yang mengganggap kenyataan berkenaan sebagai melampau.

Tambah kesal dengan perkara itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) berkata, pihak keselamatan pula seolah-olah tidak sensitif terhadap perkara berkenaan dan membiarkannya berlarutan. 

“Adakah kerana Peguam Negara menghalang pihak keselamatan dari mengambil sebarang tindakan? Jika benar, sudah pasti ini sesuatu yang sangat mengecewakan rakyat,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan rasa syukur terhadap pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meneruskan rancangan penggunaan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat.

Dr Mahathir sebelum ini berkata, kerajaan berpegang kepada dasar kemakmuran bersama dan tidak pernah menghalang penggunaan tulisan bahasa lain.

“Alhamdulillah, dikatakan Tun telah bersetuju untuk meneruskan cadangan tersebut dan kita harap tidak ada lagi pihak yang mempertikaikannya. 

“Tahniah juga kepada rakyat Malaysia yang telah mendesak dan bersuara dalam isu ini,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close