Berita Utama

CPTPP tidak jejaskan hak, kepentingan Bumiputera: Azmin

Terdapat dasar jelas lindungi Bumiputera dalam Perlembagaan

KAJANG, 23 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sekali lagi menegaskan bahawa hak dan kepentingan Bumiputera tidak akan terjejas jika kerajaan meratifikasikan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Beliau menjelaskan terdapat ‘cutoff policy’ (dasar yang jelas) untuk melindungi hak dan kepentingan Bumiputera seperti yang terjamin dalam Perlembangaan Persekutuan ketika negara menandatangani perjanjian CPTPP pada 2018.

“Dalam perjanjian CPTPP di bawah Annex II (Langkah-langkah Tidak Patuh), disebut secara khusus bahawa hak dan kepentingan Bumiputera seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan akan kekal dalam CPTPP.

“Saya telah memberikan secara terperinci peruntukan di dalam Annex II ini dan saya telah memaklumkan di Parlimen sebagai hujah untuk menyangkal dakwaan mana-mana pihak yang menyatakan kita berkompromi soal Melayu dan Bumiputera, itu tidak benar,” katanya pada sidang media selepas Program Semarak Prihatin Negeri Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mendakwa agenda Bumiputera akan dikawal selia dan terhad berbanding hak Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan apabila CPTPP diratifikasikan.

Terdahulu, dalam program itu, Mohamed Azmin menyerahkan peruntukan bantuan kelulusan khas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjumlah RM1.79 juta yang disampaikan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri bagi menaik taraf beberapa kemudahan di IPD Kajang.

Menurutnya, bantuan tersebut akan digunakan untuk menambah baik 60 unit rumah kediaman anggota, Surau Al-Amin IPD Kajang dan Taman Seri Pengaman, Sungai Jelok serta Rumah Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD Kajang.

“Kajang kini pesat membangun dan pastinya tenaga anggota polis memerlukan sokongan untuk bekerja dengan lebih efektif. Ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan pasukan (polis) dalam usaha mengawal penularan COVID-19,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button