Berita UtamaUtama

Sekolah vernakular antara punca wabak Islamophobia

Pemuda Berjasa sokong usaha ke arah sistem sekolah satu aliran

BANGI, 1 Zulhijjah 1440H, Jumaat – Sistem persekolahan yang pelbagai dan dipisahkan mengikut kaum menjadi antara punca kegagalan interaksi kaum serta agama, yang akhirnya membawa ke arah wabak Islamophobia.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Iqbal Hakim Abdul Razak berkata, Islamophobia yang semakin menular dalam kalangan masyarakat bukan Islam di Malaysia, adalah berpunca daripada salah faham terhadap Islam dan penganutnya.

“Tanpa mengenali penganutnya bahkan tidak mengetahui asas-asas Islam yang juga agama Persekutuan, masyarakat bukan Islam di Malaysia khususnya cenderung untuk berprasangka dan akhirnya terjebak ke arah Islamophobia.

“Dan tidak dapat tidak, kita harus akui sistem persekolahan yang pelbagai; dipisahkan mengikut kaum, mengakibatkan interaksi antara kaum dan sekaligus antara agama tidak berlaku dengan baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berkata, Pemuda Berjasa menyokong sebarang langkah ke arah sistem persekolahan satu aliran dan penghapusan sekolah vernakular supaya interaksi kaum serta agama boleh berlaku, sekali gus menyumbang kepada keharmonian dan tolak ansur antara masyarakat berbilang bangsa.

“Pergerakan Pemuda Berjasa menyeru kepada semua ahli politik tidak kira daripada parti pemerintah mahupun pembangkang untuk berfikir melangkaui politik partisan dan berfikir bersama demi kepentingan masa depan negara.

“Sewajarnya semua pihak yang cintakan keamanan dan kesejahteraan negara bersama-sama bersetuju menubuhkan sistem persekolahan tunggal dan menghapuskan sekolah vernakular,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close