Berita UtamaIstimewaUtama

MB Johor seleweng fakta KDNK, dakwa Khaled Nordin

Dr Sahruddin terdesak nak tunjuk prestasi PH Johor atasi rekod BN

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 24 Zulkaedah 1440H, Sabtu – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mendakwa, kenyataan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkaitan pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri itu tidak tepat dan menyeleweng.

Menyifatkannya sebagai tindakan terdesak untuk menunjukkan prestasi PH Johor, Naib Presiden UMNO itu beranggapan ianya bukan langkah yang jujur dan profesional apabila memilih untuk menggelapkan fakta sebenar dan mengubah rekod semata-mata mahu menunjukkan dirinya baik.

Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, Sahruddin harus memberikan kepimpinan kepada seluruh Kerajaan Negeri bagi mencapai prestasi yang baik, bukan menutup realiti dan membiarkan diri dikaburi oleh perasaan optimistik yang keterlaluan.

Katanya, Sahruddin telah melaporkan bahawa pertumbuhan KDNK pada tahun 2017 hanyalah pada 5.2 peratus, sekali gus membuktikan “Negeri Johor adalah salah satu daripada hanya 3 negeri yang berjaya mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya”.

“Kenyataan yang bertujuan untuk menunjukkan bahawa PH Johor telah berjaya mengatasi rekod tahun sebelum ini di Barisan Nasional, adalah salah.

“Ini kerana, berdasarkan Laporan Sosioekonomi Negeri 2018, pertumbuhan KDNK Johor tahun 2017 pada harga malar 2015 adalah 5.9 peratus,(bukannya 5.2 peratus) seperti dalam carta yang dilampirkan di bawah. Ini bermakna kadar pertumbuhan Johor pada tahun 2017 (5.9 peratus) adalah tinggi dari kadar pada tahun 2018 (5.6 peratus).

“Maka, dakwaan bahawa Johor adalah antara 3 negeri yang berjaya mencatatkan “pertumbuhan lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya” adalah salah. Malah, tiga negeri yang berjaya mencatatkan pertumbuhan lebih baik pada tahun 2018 sebenarnya adalah negeri Perak, Perlis dan W.P. Labuan dan bukannya Negeri Johor,” katanya.

Mengulas lanjut, Khaled mendakwa, Sahruddin turut menyatakan bahawa “Pertumbuhan ini didorong oleh prestasi yang memberangsangkan dalam sektor Perkhidmatan serta pertumbuhan yang mampan dalam Pembuatan”.

Sebenarnya, Laporan Sosioekonomi Negeri 2018 melaporkan bahawa “Sektor Pembuatan Johor mencatatkan pertumbuhan sederhana iaitu 5.1 peratus pada tahun 2018 berbanding 6.9 peratus pada tahun 2017 yang didorong oleh subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal.”

“Selain itu, Laporan Sosioekonomi Negeri 2018 juga merekodkan bahawa “sektor Pertanian Johor bertumbuh lebih perlahan pada kadar 0.5 peratus (2017: 7.6 peratus) pada tahun 2018. Pertumbuhan ini dipengaruhi oleh penyusutan pada subsektor kelapa sawit kepada negatif 2.1 peratus berbanding peningkatan 17.3 peratus pada tahun 2017.”

“Namun, tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana sektor perkhidmatan dan sektor pembinaan negeri Johor mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik bagi tahun 2018, berbanding tahun 2017,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close