Berita UtamaDuniaPalestinTimur TengahUtama

Roboh rumah: Taktik rejim Zionis hakis identiti Palestin

Perobohan di Baitulmaqdis sejajar dengan dasar Israel kuasai wilayah

BEIRUT, 23 Zulkaedah 1440H, Jumaat – Tindakan Israel merobohkan kawasan perumahan rakyat Palestin di Baitulmaqdis yang diduduki baru-baru ini, sejajar dengan dasar rejim pengganas berkenaan untuk menguasai wilayah itu, kata Menteri Luar Lubnan, Gebran Bassil.

Beliau dalam kenyataan di Twitter rasminya semalam berkata, tindakan rejim itu menghalau penduduk Palestin dari kediaman mereka adalah ‘taktik’ untuk menghakis identiti Palestin sebagai pemilik tanah berkenaan.

“Israel memusnahkan rumah di Tebing Barat, menghalau pemilik tanah Palestin di al-Quds dan pinggir bandar, serta menolak hak mereka kembali ke tanah air berkenaan sebagai usaha membunuh perjuangan Palestin.

“Ada juga tindakan sengaja menimbulkan masalah untuk mengalihkan perhatian rakyat Palestin daripada bahaya paling besar akan datang. Komuniti antarabangsa menjadi buta kepada kebenaran,” katanya.

Rabu lalu, Amerika Syarikat (AS) menyekat cubaan Kuwait, Indonesia dan Afrika Selatan untuk menggesa Majlis Keselamatan PBB mengutuk tindakan rejim Israel merobohkan kira-kira 70 buah rumah di 10 bangunan pangsapuri kediaman penduduk Palestin di pinggir Baitulmaqdis

Menurut Reuters, tiga negara berkenaan mengedarkan draf kenyataan lima perenggan kepada 15 anggota Majlis Keselamatan PBB kelmarin, yang menyatakan kebimbangan serius dan memberi amaran bahawa perobohan itu ‘melemahkan daya maju penyelesaian dua negara dan prospek keamanan yang adil dan kekal’.

Isnin lalu, ratusan rejim pengganas Israel menyerbu kawasan perkampungan Sur Baher, di Timur Baitulmaqdis dan mengisytiharkannya sebagai zon tentera.

Mereka bertindak secara biadab menghalau penduduk dari kediaman dan turut menanam bahan letupan di perumahan itu bagi untuk tujuan pemusnahan. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close