Berita UtamaUtama

‘Dakwaan Indira Ghandi kaitkan PAS tuduhan jahat’

Tuan Ibrahim gesa tarik balik tuduhan, tuntut permohonan maaf

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 23 Zulkaedah 1440H, Jumaat – PAS menafikan tuduhan melulu M Indira Gandhi yang mendakwa NGO mesra parti itu bersekongkol dengan pengikut pendakwah terkenal antarabangsa, Dr Zakir Naik dan puak pemisah di Selatan Thailand dalam melindungi bekas suami serta anaknya.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini, menyifatkan dakwaan itu sebagai tuduhan jahat serta cubaan mengaitkan parti berkenaan dengan aktiviti ekstremisme.

“Justeru, PAS menggesa beliau supaya menarik balik tuduhan berkenaan serta memohon maaf atas dakwaan yang telah dikaitkan dengan PAS,” katanya.

Semalam, Indira dilaporkan mendakwa bekas suaminya yang menculik anak perempuan mereka, Prasana Diksa, 11, sedang bersembunyi di bawah perlindungan beberepa kumpulan dikaitkan kepada Zakir Naik, PAS dan pemisah Thailand.

Dalam laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pagi semalam, Indira mengesyaki badan bukan kerajaan mesra PAS, pemisah di selatan Thailand dan pengikut mualaf Zakir Naik terbabit dalam melindungi bekas suaminya.

Indira mendakwa, dia dimaklumkan Mohd Riduan @ K Pathmanathan diberikan perlindungan oleh kumpulan itu dan mualaf yang berinspirasikan Zakir serta ajarannya.

Katanya, dia menerima satu panggilan daripada nombor tidak diketahui baru-baru ini yang memberitahu Riduan tinggal di Golok di bawah perlindungan kumpulan itu.

“Saya tidak tahu akan kesahihan maklumat itu, tetapi kami memang menerima maklumat sejak September 2018, kumpulan itu terlibat langsung, ulama agama memberi perlindungan haram kepada Riduan, isteri dan anak-anaknya.” kata Indira.

Prasana Diksa berusia setahun pada 2009, ketika Riduan mengambilnya daripada Indira.

Indira berjaya membatalkan penukaran agama tiga anaknya oleh Riduan pada 29 Januari 2018, selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan sebarang penukaran agama kanak-kanak bukan Islam harus mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Mahkamah Persekutuan pada April 2016 mengarahkan ketua polis negara menahan Riduan kerana menghina mahkamah selepas gagal mematuhi perintah menyerahkan Prasana kepada Indira.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close