Berita UtamaIstimewaUtama

Pantau rapat gerakan tuntut pemisahan negeri: IKB

Urus tadbir sistem federalisme Malaysia perlu disemak semula

BANGI, 22 Zulkaedah 1440H, Khamis – Kerajaan negeri mahupun Pusat perlu berbincang serta membuat persetujuan yang memberi kesaksamaan kepada pembangunan dalam hal ehwal negeri-negeri di Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak, gesa Institut Kajian Borneo (IKB).

Cadangan itu susulan gerakan Sarawak Liberation Movement (SLM) dan seangkatannya kini memberi amaran kepada Pusat mengenai kemungkinan berlakunya kebangkitan rakyat Sarawak menuntut pemisahan negeri.

SLM adalah salah satu pertubuhan oleh aktivis gerakan yang menuntut pemisahan Sarawak daripada Malaysia. Menurut mereka, faktor tuntutan adalah disebabkan penghakisan hak-hak kepada Sarawak yang telah diperuntukkan Perlembagaan berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.

SLM dilaporkan menganjurkan himpunan besar-besaran pada Hari Kemerdekaan Sarawak di Sibu dan Kuching. Penganjurnya termasuk Sarawak Association of People’s Aspirations (SAPA), Sarawak For Sarawakians (S4S), Solidariti Anak Sarawak (SAS) dan Dayak National Congress (DNC).

Rata-ratanya membawa poster ‘Kami tak mahu dijajah oleh Malaya’, dan ‘Hak penentuan diri’, bagi tujuan menuntut hak rakyat Sarawak dan rakan kongsi yang sama dengan Tanah Melayu dan Sabah.

Mengulas mengenai perkara itu, pengkaji di IKB, Mohammad Afiq berkata, ketidakpuashatian rakyat dan sentimen nasionalisme rakyat Sarawak sememangnya mempunyai asas.

“Hak-hak istimewa untuk Sabah dan Sarawak memang ada diperuntukkan dalam Perlembagaan. Namun, isunya ialah apabila Kerajaan Pusat tidak melaksanakannya dengan sempurna.

“Masalah pada pelaksanaan, bukan pada undang-undang. Dalam konteks mengukuhkan Persekutuan, urus tadbir sistem federalisme di Malaysia perlu disemak semula,” katanya kepada Ismaweb.

Beliau berkata, tuntutan rakyat negeri terhadap hak negeri tidak perlu dihentikan kerana ia adalah hak masing-masing untuk bersuara.

“Namun bentuk tuntutan yang mengubah struktur Persekutuan seperti pemisahan negeri perlu dipantau rapat oleh pihak berkuasa supaya tidak ada elemen seperti campur tangan kuasa asing.

“Ia termasuk seruan yang menghina kaum atau agama lain, penghinaan kepada institusi diraja atau komplot yang membabitkan aspek keselamatan,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close