Berita UtamaUtama

Video seks ada matlamat jahat

'Seseorang cuba gunakan saya bagi mencapai agenda mereka'

KUALA LUMPUR, 21 Zulkaedah 1440H, Selasa – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau bukannya mempertahankan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung satu video seks, yang viral, yang didakwa membabitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

Beliau juga berkata, politik kotor tidak akan dapat memerangkap beliau menjadi sebahagian daripadanya

“Saya bukan mempertahankan beliau (Mohamed Azmin). Saya hanya berkata bahawa politik jenis kotor yang seumpama tidak akan dapat memerangkap saya menjadi sebahagian daripadanya.

“Jelas sekali, seseorang cuba untuk menggunakan saya bagi mencapai matlamat mereka. Ini bukan satu video yang biasa anda lihat sebelum ini; ini sengaja diwujudkan bagi mencapai matlamat jahat yang tertentu bagi menghalang seseorang daripada maju dalam politik.

“Ini telah dirancang dan saya tidak akan menjadi ejen untuk menjayakan rancangan itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Strategi Kebangsaan Bagi Literasi Kewangan 2019-2023 di Sasana Kijang, Bank Negara di sini.

Dr Mahathir ditanya sama ada beliau mempertahankan Mohamed Azmin. Dalam pos blog beliau chedet.cc awal hari ini, beliau telah menulis antaranya bahawa klip video seks itu yang dibabitkan dengan seorang menteri bukanlah satu isu moral tetapi satu masalah politik.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak sanggup diperalatkan dalam isu ini dan video berkenaan dibuat dan diedarkan bagi tujuan politik dengan alasan utamanya untuk menyekat karier politik seorang individu.

Ditanya sama ada perancang di sebalik pengedaran video itu perlu dihadapkan ke mahkamah, Dr Mahathir berkata mereka patut dihukum.

“Sekiranya kita boleh mencari dan mengenal pasti orang yang sebenarnya menghasilkan video berkenaan dan menayangnya dalam internet, saya berpendapat mereka patut dihukum. Ini bukanlah politik yang kita inginkan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail percaya kenyataan terbaru Dr Mahathir mengenai isu video kontroversi itu bertujuan meredakan ‘suhu’ politik negara yang saban hari dihidangkan dengan hal berkaitan video berkenaan.

Saifuddin Nasution berkata, kerajaan Pakatan Harapan mempunyai tugas dan tanggungjawab lebih penting perlu dijalankan.

“Saya percaya hasratnya adalah untuk mengembalikan semula fokus dan tumpuan kepada tugas hakiki kenapa kita dipilih oleh rakyat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) 2019 di Sunway Pyramid Convention Centre. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close