Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Turki usir ribuan pelarian Syria masuk secara haram

Pendatang yang masuk ke Turki perlu dapat permit tempat tinggal

ANKARA, 21 Zulkaedah 1440H, Selasa – Pihak berkuasa Turki mengusir sekurang-kurangnya 1,000 pelarian Syria sejak minggu lalu, sebagai langkah membanteras pendatang asing yang memasuki negara itu tanpa izin atau didakwa melakukan jenayah.

Pada masa sama, polis juga menahan lebih daripada 5,000 pelarian Syria di Istanbul, kerana permit kediaman mereka didaftarkan di wilayah lain negara itu.

Bagaimanapun, mereka akan dipindahkan ke wilayah asal di mana mereka didaftarkan.

Minggu lalu, polis telah membuat rondaan dan serbuan di kawasan perumahan pelarian Syria yang telah berdaftar dengan pihak berkuasa tetapi tiada dokumen perjalanan sah.

Sementara itu, seorang ahli politik pembangkang Syria, Khaled Khoja memberitahu, seorang pelarian Syria yang telah berdaftar dengan kerajaan Turki telah diusir ke Idlib, berikutan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Walaupun kerajaan Turki mengambil serius isu pelarian Syria yang tidak berdaftar, namun mereka boleh selesaikan masalah berkenaan dengan cara yang lebih baik, dengan mengambil kira keselamatan mereka. Sekarang mereka diusir ke zon perang di tanah air sendiri yang mengakibatkan nyawa terancam,” katanya.

Wilayah Idlib ialah kawasan terakhir yang dikuasai oleh pembangkang Syria serta sering menjadi sasaran pengeboman oleh rejim al-Assad dan sekutunya, Rusia.

Selain itu, aktivis di media sosial berkata, pihak berkuasa Turki telah memaksa pelarian Syria menandatangani ‘dokumen pengusiran secara sukarela’, berikutan kegusaran mereka terhadap undang-undang antarabangsa kerana tindakan mereka juga mengancam nyawa pelarian berkenaan.

Pejabat Gabenor Istanbul dalam satu kenyataan semalam berkata, negara itu terus mengusir pelarian Syria yang tiada dokumen perjalanan sah sebaik sahaja menerima kecaman hebat oleh aktivis di media sosial.

“Pelarian yang mempunyai status perlindungan sementara sehingga 20 Ogos tahun ini perlu kembali ke wilayah-wilayah di mana mereka pada asalnya didaftarkan. Jika tidak, pasukan keselamatan kami yang akan memindahkan mereka,” kata kenyataan itu.

Katanya, lebih dari setengah juta pelarian Syria dengan status perlindungan sementara didaftarkan ke Istanbul.

Langkah itu dibuat sebaik sahaja Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu mengadakan pertemuan dengan anggota komuniti pelarian Syria, di Syria minggu lepas.

Soylu berkata, Turki tidak akan bertoleransi terhadap rakyat Syria yang memasuki Turki secara haram.

“Kami sudah menyediakan permit tempat tinggal dan perniagaan kepada mereka. Tidak wajar masih ada lagi individu yang masih ingin tinggal secara haram,” katanya. -Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close