Berita Utama

‘Ini bukan masa untuk letak kesalahan’: ATM

Kekurangan urus banjir tugas bersama setiap agensi untuk selesaikan

BANGI, 16 Jamadilawal 1443H, Selasa – Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang menegaskan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meletakkan keselamatan rakyat terutama mangsa banjir sebagai keutamaan untuk memastikan sebarang usaha melibatkan pengurusan bencana banjir dapat dikoordinasikan secara tersusun dan berkesan.

Justeru, ini bukan masa untuk mana-mana pihak meletakkan kesalahan sehingga boleh mengganggu dan menjejaskan sebarang usaha menyelamat serta memindahkan mereka yang terkesan akibat bencana itu.

Katanya, apa yang penting adalah kerjasama padu antara satu sama lain dengan meletakkan kepentingan keselamatan mangsa sebagai keutamaan yang perlu didahulukan.

“Sebarang usaha yang dilaksanakan adalah berdasarkan konsep Whole of Government Approach bagi memastikan setiap agensi terlibat yang dikoordinasikan oleh NADMA, dapat digembleng secara bersama dan berkesan.

“Sebarang kekurangan dalam aspek pengurusan banjir ini adalah tugas bersama setiap agensi untuk mencari jalan penyelesaian dalam menambah baik operasi yang dilaksanakan dan di masa-masa akan datang,” kata Markas ATM dalam kenyataan, hari ini.

Tegasnya, ATM sentiasa komited melaksanakan tugas sekundernya terutama membantu pihak berkuasa awam yang dikoordinasikan NADMA dalam menyelamatkan mangsa-mangsa yang terkesan akibat bencana banjir terutama usaha memindahkan mereka ke kawasan selamat.

“Pada masa yang sama, mangsa-mangsa banjir yang terlibat juga diharapkan dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan keselamatan demi kelancaran operasi yang dilaksanakan serta kesejahteraan dan keselamatan semua,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button