Berita UtamaUtama

Sabotaj Sungai Selangor boleh kena tindakan Sosma: KPN

Polis guna apa saja undang-undang siasat kes pencemaran sungai

KUALA LUMPUR, 21 Zulkaedah 1440H, Selasa – Mana-mana individu yang terbabit melakukan sabotaj sehingga menyebabkan pencemaran minyak di Sungai Selangor boleh dikenakan tindakan di bawah prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), kata Ketua Polis Negara.

Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, polis akan menggunakan apa sahaja undang-undang yang ada untuk menyiasat kes itu dan Ketua Polis Selangor telah diarahkan untuk turun padang serta mengetuai siasatan kes berkenaan.

“Siapa-siapa yang terbabit melakukan sabotaj ke atas mana-mana prasarana kepentingan pengguna boleh ditangkap di bawah prosedur Sosma.

“Saya tidak akan berkompromi dengan mereka yang terbabit sabotaj kes ini kerana isu pencemaran sungai berkenaan telah menyebabkan empat hingga lima juta orang terjejas kerana tiada punca air,” katanya.

Abdul Hamid, yang ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023, di sini, hari ini berkata sebelum ini kes sabotaj yang membabitkan kepentingan rakyat seperti utiliti air dan elektrik boleh dikenakan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Semalam, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membuat laporan polis berhubung dua insiden pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap kemungkinan wujudnya elemen sabotaj.

Pengerusi SPAN, Charles Anthony Santiago berkata dua insiden dalam tempoh tiga hari adalah amat membimbangkan dan pihaknya bersimpati dengan penderitaan rakyat Selangor akibat penutupan empat loji rawatan berikutan pencemaran yang berlaku.

Pada Jumaat lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 serta LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas setelah berlaku pencemaran bau diikuti insiden pencemaran diesel akibat aktiviti kerja-kerja pengorekan pasir di hulu sungai. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close