Berita UtamaUtama

PPSMI: Kerajaan gagal perkenal produk baru pendidikan

Cari kaedah tingkatkan kefahaman pelajar dalam Sains, Matematik

BANGI, 21 Zulkaedah 1440H, Selasa – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu mengulangi kesilapan pentadbiran terdahulu dengan mengemukakan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) walaupun dalam format baharu.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, kerajaan sebaliknya dicadangkan untuk bekerja keras memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran subjek Matematik dan Sains dalam bidang pendidikan.

Beliau berkata, kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed mengembalikan semula PPSMI dalam format sebelum ini, telah menimbulkan perdebatan di kalangan para ilmuan bahasa, sebilangan besar pendidik serta pejuang bahasa yang cintakan bahasa ibunda.

“Meskipun Tun M menggunakan terma ‘sistem teknologi maklumat’, namun pencinta bahasa tidak dapat membendung kegusaran mereka mengenai natijah yang akan menimpa para pelajar.

“Misalnya seperti penurunan tahap penguasaan mata pelajaran Matematik dan Sains, hilang minat belajar serta wujud jurang besar antara pelajar bandar dan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fakhruddin berkata, sejak awal pengenalan PPSMI, PAS mengambil pendirian menolak dasar berkenaan, tetapi bukan bermaksud mengenepikan pembelajaran Bahasa Inggeris.

Justeru, beliau mencadangkan bahawa perkara utama yang perlu diambil perhatian ialah dengan mencari jalan untuk mewujudkan suasana minat belajar serta penggunaan kaedah yang sesuai, bagi menerapkan kefahaman mendalam ke atas kedua-dua subjek berkenaan.

Katanya, perkara ini dapat dilaksanakan dengan mewujudkan satu sekretariat penterjemahan bahasa atau perkataan Sains dan Matematik di peringkat nasional untuk melicinkan proses penterjemahan.

“Selain itu, saya menyarankan agar kerajaan mengumpul tenaga pakar bahasa Sains setiap bidang seperti Sains Kejuruteraan, Kesihatan, Biologi, Fizik dan sebagainya, bagi mendapatkan input penterjemahan yang tepat tentang maksud setiap perkataan menerusi penglibatan Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Kerajaan juga perlu memperteguh keilmuan bahasa ke atas guru-guru terbabit serta pendedahan teknik pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik secara holistik,” katanya.

Beliau berkata, mempelbagaikan kaedah pengajaran secara formal di dalam kelas mahupun penglibatan pelajar di luar kelas sepeti kegiatan kelab kokurikulum berasaskan subjek juga dapat memupuk minat belajar subjek Matematik dan Sains dalam kalangan pelajar.

Mengulas lanjut beliau berkata, pengenalan semula dasar PPSMI sebenarnya menunjukkan kegagalan kerajaan PH memperkenalkan produk baru dalam bidang pendidikan.

“Hakikatnya pengenalan dasar ini adalah bertentangan dengan dasar bahasa kebangsaan yang menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan,” katanya.

Terdahulu, Tun M memberitahu Dewan Rakyat bahawa pelaksanaan dasar PPSMI sedang dikaji dengan menyediakan sistem baharu membabitkan pengajaran melalui teknologi maklumat (IT).

Beliau berkata, melalui sistem itu, pengajaran yang direkod oleh guru terbaik akan diguna di setiap sekolah, supaya kecekapan guru itu dapat dinikmati semua murid dan pelajar.

PPSMI pernah dilaksanakan pada tahun 2003 dan terbukti gagal. Berdasarkan kajian antarabangsa, Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS), pencapaian pelajar sekolah di Malaysia dalam bidang sains dan matematik merosot dengan mendadak apabila sistem berkenaan dilaksanakan.

Malah, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pernah menyarankan agar subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close