Berita UtamaUtama

‘Pak belang’ sudah mati

Awang Besul alami dehidrasi, kecederaan di kaki

IPOH, 21 Zulkaedah 1440H, Selasa – Seekor harimau jantan yang ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Terengganu pada Jumaat lepas disahkan mati awal pagi tadi.

Jabatan Perhilitan dalam kenyataan hari ini berkata, Harimau Malaya yang dikenali sebagai ‘Awang Besul’ disahkan mati oleh doktor veterinar Jabatan Perhilitan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai dekat sini pada 5.30 pagi setelah pelbagai usaha intensif untuk merawat dan menyelamatkannya dijalankan.

“Pemeriksaan fizikal di lapangan pada Jumaat lepas menemukan kecederaan pada bahagian kaki, keradangan mata dan haiwan itu dalam keadaan dehidrasi.

“Pemantauan rapi di NWRC sejak Sabtu, menunjukkan terdapat tanda-tanda klinikal neurologi iaitu tidak agresif, berpusing satu arah apabila berjalan, sawan dan tanda klinikal jangkitan saluran pernafasan iaitu nasal discaj. Rawatan yang diberikan adalah secara simptomatik ataupun rawatan sokongan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, keputusan virologi yang diterima semalam setelah persampelan darah, serum serta swab yang dilakukan dan dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) Ipoh pada Ahad lepas untuk ujian penuh menunjukkan Awang Besul positif Virus Canine Distemper melalui ujian RT-PCR.

Kenyataan itu turut menyebut proses bedah siasat akan dijalankan secepat mungkin.

Canine Distemper adalah penyakit disebabkan oleh virus yang mudah menyerang haiwan domestik iaitu anjing atau lain-lain hidupan liar termasuk spesies harimau.

Harimau yang terkena penyakit berkenaan akan menunjukkan tingkah laku tidak takut kepada manusia dan kebarangkalian harimau untuk sembuh adalah sangat tipis, kata kenyataan itu.

Pihak Jabatan Perhilitan tidak menolak kemungkinan Canine Distemper yang dihadapi Awang Besul disebarkan oleh haiwan liar di sekitar Kampung Besul Lama dan pihaknya masih memantau kawasan itu dengan memasang perangkap harimau bagi memastikan keselamatan penduduk di sekitar kampung itu.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) meminta orang ramai menyalurkan maklumat terus kepada Jabatan Perhilitan dengan menghubungi talian 1-800-88-5151 sekiranya terserempak dengan harimau.

Pada Jumaat lepas, Awang Besul yang dianggarkan seberat 130 kilogram dipindahkan ke NWRC di Sungkai bagi mendapatkan rawatan intensif daripada doktor veterinar setelah ditangkap dalam operasi dijalankan Jabatan Perhilitan pada 3.30 petang selepas ditembak menggunakan ubat pelali dan dikuarantin.

Haiwan yang dianggarkan berusia lima tahun itu ditangkap ketika sedang berehat di kawasan belukar sekitar 500 meter dari jalan utama. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close