Berita Utama

Najib bebas awal, sokongan Melayu akan beralih kepada PN

Laungan Presiden UMNO di depan akar umbi sekadar omongan kosong sahaja

BANGI, 22 Rejab 1445H, Sabtu – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa sokongan undi Melayu Bumiputera akan beralih kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ia susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang bersetuju mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Terdahulu, lembaga itu mengesahkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri itu dikurangkan daripada 12 tahun ke 6 tahun, dan denda terhadapnya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Ini bermakna Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris menyifatkan perkembangan itu sebagai positif namun menurutnya, UMNO gagal membebaskan Najib sepenuhnya.

Beliau berkata, laungan Presiden UMNO di depan akar umbi berhubung perkara itu sekadar omongan kosong sahaja.

“Mungkin Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya lega seketika kerana Bossku hanya dibebaskan Ogos 2028.

“Ternyata sokongan undi Melayu Bumiputera akan beralih menerusi gelombang yang lebih besar kepada PN terutama PRU16, di samping jangkaan pengundi Cina, India dan pengundi muda serta pengundi baharu pasti memihak kepada kami atas simpati kepada Bossku,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Razali berkata, PN dan Bersatu mendoakan kesejahteraan Najib agar terus bersabar dan bertabah mendepani ujian getir ini.

“Perjuangan benar perlu ditegakkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button