Berita UtamaPendapatUtama

Muslim terpaksa? Ini bukan bermakna Uyghur boleh ditindas

China jangan perbodohkan masyarakat dunia, Uyghur sedang terseksa

KAMI  terkejut dan benar-benar jijik oleh dakwaan bahawa etnik Uyghur di Xinjiang tidak memilih menjadi orang Islam seperti yang didakwa oleh dokumen Kertas Putih China.

Laporan itu mendakwa Islam dipaksa keatas kumpulan etnik itu akibat peperangan antara agama dan kelas.

Ini nampaknya satu lagi percubaan China sebagai alasan untuk mempertahankan tindakannya terhadap Uyghur.

Ia berhujah bahawa nenek moyang Uyghur telah diperhambakan oleh orang Turki, dan Uyghur menjadi umat Islam bukan dengan pilihan tetapi dengan kekerasan, dan Islam bukan satu-satunya agama mereka.

Kami percaya bahawa Beijing sedang melancarkan serangan balas dalam propagandanya, untuk mengabsahkan dasarnya terhadap Uyghur Muslim di wilayah Xinjiang .

“Orang-orang Uyghur mengamalkan Islam bukan dari kehendak mereka sendiri.. tetapi telah dipaksa akibat peperangan agama dan kelas,” kata dokumen yang dikeluarkan oleh Pejabat Penerangan Majlis Negeri kerajaan China.

Fakta sejarah ini direka dan sengaja diolah untuk mendakwa tekanan mereka ke atas etnik Uyghur ada rasional dari segi sejarah agama.

Kertas putih ini nampaknya memberi tumpuan kepada isu kepercayaan Uyghur yang sudah beragama Islam selama berabad-abad.

Maksudnya, China merasa wajar untuk mengawal dan mengekang Muslim Uyghur daripada mengamalkan Islam sepenuhnya.

Kami mendapati kertas ini sangat ironis, kerana dari satu segi ia mengesahkan bahawa wilayah itu terdapat hubungan bersejarah dengan Turki, tetapi dari segi lain China mempertahankan haknya untuk menceroboh dan menduduki wilayah yang pernah berdaulat, yang asalnya dikenali sebagai Timur Turkistan itu.

Bukti apa yang ada untuk China mendakwa “Secara sejarah, nenek moyang Uyghur telah diperhambakan oleh Turki,” ?

Menggunakan perkataan ‘diperhambakan’ adalah suatu penipuan. Tiada sejarah paksaan dalam pengembangan Islam.

Kertas putih itu cuba untuk membentangkan naratif sedemikian sebagai alat untuk membenarkan tindakan dan dasarnya di wilayah yang bergolak itu.

Wilayah itu adalah bumi bagi lebih dari 10 juta penduduk Uyghur,kebanyakannya adalah Muslim.

Kami menegaskan pendirian kami bahawa penahanan besar-besaran etnik Uyghur di Xinjiang tidak dapat diterima. Penahanan itu telah dipastikan dan disahkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Keadaan tahanan Uyghur dapat diketahui hanya dan sehingga penyiasatan antarabangsa yang bebas sepenuhnya dilaksanakan.

Kerajaan China tidak dapat mendakwa ia bersih dari kekejaman terhadap kaum Muslim Uyghur, selagi akses kepada penyiasatan bebas tidak dijamin.

Pemerintahan China telah menganjurkan kunjungan oleh diplomat, wartawan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terpilih dari luar China dengan kawalan yang ketat. Ini tidak akan menutup realiti sebenar seperti yang dilaporkan oleh ramai mangsa penyeksaan dan pelanggaran hak manusia ke atas Uyghur Muslim.

Media negara China yang mengeluarkan video memaparkan orang-orang Uyghur kelihatan gembira dan sihat di dalam kem-kem tahanan, adalah usaha kerajaan China menutup penindasan yang keras terhadap mereka. Pastinya ini tidak akan meyakinkan beribu-ribu orang Uyghur yang berlindung di luar China, yang mengkisahkan kesaksian mereka yang mengerikan mengenai keadaan mereka di bawah pemerintah China.

Pakar dan aktivis PBB mengatakan sekurang-kurangnya sejuta Uyghur dan Muslim lain sedang ditahan di pusat penahanan di Xinjiang.

Walaupun ideologi Komunis China tidak mengiktiraf agama sebagai komponen penting dalam pembinaan negara, tujuannya untuk menghapuskan ekstremisme agama adalah suatu penindasan yang tidak dapat diterima.

Atas alasan menyediakan orang Uyghur untuk dilatih dengan kemahiran yang berguna di ‘pusat latihan dan pendidikan’ secara paksa adalah bertentangan dengan kehendak mereka .

Dasar Islamofobia terhadap bukan sahaja Uyghur tetapi umat Islam di China telah dilaporkan oleh ramai mangsa yang telah melalui pengawasan keselamatan dan interogasi yang ketat oleh pihak China.

Dalam dokumen yang dikeluarkan pada bulan Mac melaporkan, sejak lima tahun yang lalu kerajaan China telah menahan hampir 13,000 “pengganas” di rantau Xinjiang.

‘Pengganas’ adalah tuduhan mudah yang digelar kepada sebarang suara yang menentang dan mengkritik pihak pemerintah rejim diktator, tidak kira sama ada ditimur mahupun barat.

Di manakah mereka yang dipanggil ‘pengganas’ yang ditahan itu sekarang? Adakah mereka sudah didakwa secara sah?

Kemarahan Uyghur adalah disebabkan dasar China, antaranya termasuk yang mengenakan pengumpulan sampel DNA dan pengawasan keatas penduduk tempatan dilhat sangat mengganggu dan intimidatif.

Dakwaan bahawa “Xinjiang telah mengambil pengalaman antarabangsa dan menggabungkan dengan realiti tempatan, serta mengambil langkah-langkah tegas terhadap keganasan dan ekstremisme,” adalah tidak wajar, kerana definisi kata-kata ini telah diguna secara merangkum, dan disalahgunakan tanpa bukti ke atas Uyghur Muslim.

Kami menolak tafsiran ekstremisme sebagai asas untuk program penahanan China untuk ‘pendidikan semula’. Yang disebut ‘de-radikalisasi’ tidak lebih daripada Sinisasi (pengChinaan ) Islam dan Muslim di China.

Tidakkah kerajaan China sedar bahawa apa yang dilakukan keatas rakyatnya sendiri adalah ekstremisme?

Tidakkah memaksa satu juta daripada etnik Uyghur untuk dipaksa kedalam program ‘dididik semula’ di kem-kem tanpa tempoh had waktu adalah ekstremisme?

Tidakkah pemisahan ahli keluarga secara paksa tanpa akses untuk berkomunikasi antara satu sama lain, jika dibenarkan pun, akan sangat diawasi, suatu ekstremisme ?.

Bukankah mereka yang mati dalam tahanan dan mayat mereka dilupuskan tanpa pengetahuan keluarga mereka, bukan ekstremisme?

Adakah semua ini bukan paksaan dan ekstremisme terhadap minoriti Muslim Uyghur di China?

Umat ​​Islam di seluruh dunia menjadi mangsa kempen Islamofobia sama ada dari kuasa Barat mahupun China sebagai kuasa besar Timur.

Kami ingin mengingatkan China bahawa umat Islam tidak akan bertolak ansur dengan indoktrinasi sebarang bentuk nasionalisme untuk menafikan umat Islam dari mengamalkan agama mereka dengan bebas.

Sebagaimana dakwaan ‘Islam secara paksa’ ke atas Uyghur menjadi asas prasangka dan penindasan oleh China seperti yang digambarkan oleh kertas putih, kami menuntut Sinisasi ( pengChinaan ) dengan paksa keatas Muslim mesti dihentikan.

Bagi umat Islam, China tidak boleh memaksa indoktrinasi ‘China pertama, Islam kedua’.

Umat ​​Islam mempunyai hak untuk melindungi kepercayaan mereka tanpa mengira kewarganegaraan mereka.

Apa hak China menentukan Islam mengikut kepentingan nasionalnya?

Mengapa umat Islam terhalang daripada akses kepada pendidikan Islam di Xinjiang?

Mengapakah masjid-masjid dirobohkan dan diubah dari seni reka bina Islam yang asal?

Kenapa ada umat Islam tidak dibenarkan berpuasa pada bulan Ramadan?

Kami tidak akan meninggalkan isu Uyghur tanpa pemantauan dan kami mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk tidak mengutamakan keuntungan pelaburan dan ekonomi China dengan mengorbankan nasib Uyghur dan Muslim di China.

Kami menyeru semua negara Islam untuk bersolidariti dengan Uyghur Muslim bagi memenuhi kewajipan Islam mereka untuk melindungi saudara-saudaranya yang ditindas di mana sahaja mereka berada.


Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia

Datuk Seri Syekh Ahmad Awang
Pengerusi Aliansi Masjid SeDunia Pertahankan Al Aqsa

Datuk Wira Syekh Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Asia

Penafian: Kenyataan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net. Kenyataan ini pertama kali disiarkan dalam Facebook penulis.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close