Berita UtamaKolumnisUstaz Zamri bin HashimUtama

Jangan sempitkan ruang berzikir

Zikir menyedarkan kita wajib ingat Allah SWT dalam setiap keadaan

FIRMAN Allah SWT: (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah SWT semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.(QS Aali Imran:191)

Ibnu Kathir memberikan komentar bahawa ayat ini memperingatkan kita untuk sentiasa mengingati Allah SWT dalam segala keadaan. Gambaran keadaan mereka mengingati Allah SWT semasa mereka ‘berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, adalah sebagai mengingati di dalam segenap keadaan. Di dalam kitab sahih Muslim juga ada hadith yang merekodkan “Sesungguhnya Rasulullah ﷺ menyebut dan mengingati Allah SWT dalam setiap keadaan” (HR Muslim).

Ia juga dapat difahami bahawa zikir atau mengingati Allah SWT itu luas maksudnya dan banyak caranya. Zikir boleh berlaku dengan mengungkap zikir-zikir yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ dengan bilangan-bilangan yang tertentu atau tidak terikat dengan had-had jumlah tertentu.

Fahaman yang menghadkan zikir di dalam ruang lingkup yang sempit sering dianuti oleh sebahagian besar umat Islam, sehingga ada di kalangan mereka menghadkan zikir hanya dengan zikir mulut dan sebutan, terhad di masjid dan di atas tikar sembahyang. Namun hakikatnya, zikir lebih luas dari fahaman begitu sehingga ia mempunyai kesan yang besar di dalam kehidupan.

Kita wajib mengembalikan zikir kepada makna asal iaitu mengingati Allah SWT dalam segenap hal dan keadaan. Zikir juga boleh berlaku dengan perbuatan. Sebagai contoh, seseorang itu akan membatalkan hasratnya untuk membuat sesuatu perkara yang diharamkan Allah SWT semata-mata dorongan dalamannya.

Seseorang itu menghentikan hasratnya untuk membuat pinjaman kewangan secara riba semata-mata ia ingat bahawa Allah SWT mengharamkan riba. Ini juga satu bentuk zikir. Realitinya hari ini, tidak sedikit “ahli-ahli zikir” yang masih bertransaksi dengan riba.

Di samping setiap kita diajarkan oleh Rasulullah SAW dengan zikir umum seperti zikir selepas solat, doa-doa khusus pada situasi-situasi tertentu, namun hakikatnya, setiap daripada kita mempunyai zikir-zikir khusus mengikut profesion kita masing-masing.

Zikir-zikir umum dan doa-doa khusus seharian yang kita lakukan mesti kita fahami, ia adalah sebagai pengikat agar kita sentiasa sedar bahawa kita sentiasa mempunyai tanggungjawab untuk memenangkan kehendak Allah SWT dalam segala urusan kehidupan kita. Ia juga mengelakkan kita lalai dari tanggungjawab kita sebagai khalifah dan hamba Allah SWT.

Ahli ekonomi walaupun tiada lafaz zikir yang khusus untuk mereka, namun zikir mereka adalah usaha mereka untuk memastikan profesion dan kepakarannya sebagai melepaskan umat Islam dari cengkaman ekonomi kapitalis dan sosialis, serta mengembalikan ia kepada sistem ekonomi Islam.

Ahli politik pula zikirnya adalah dengan memastikan hakimiyyah Allah SWT terlaksana di atas mukabumi ini. Mengajak manusia untuk tunduk kepada peraturan Allah SWT samada urusan peribadi, bermasyarakat dan bernegara.

Zikir sasterawan adalah untuk menggunakan kemahirannya untuk membawa manusia kepada mengagungkan kehebatan Allah SWT dan menginsafi kekerdilan manusia di sisi Tuhannya.

Perbincangan isu “zikir menari” yang berlaku kebelakangan ini janganlah menenggelamkan matlamat berzikir itu sendiri, sehingga melahirkan watak kuat “berzikir” tetapi, masih menyokong sistem ekonomi kapitalis dan sosialis, kuat berzikir tetapi masih menyokong liberalisme, pluralisme, masih bersekongkol dengan pihak yang cemburu dan berterus-terusan mempersoalkan Islam sebagai tonggak urusan mentadbir negara ini.

Kesimpulannya, zikir-zikir dengan lafaz-lafaz khusus dan bilangan-bilangan khusus berperanan untuk menyedarkan kita bahawa setiap masa dan keadaan kita berperanan untuk memenangkan kehendak Allah SWT di dalam segenap kehidupan kita.

Meskipun setiap daripada kita mempunyai profesion yang berbeza, di samping zikir-zikir berlafaz yang digalakkan untuk beramal, kita juga mempunyai kewajipan berzikir secara tindakan yakni sebagai ejen untuk menundukkan seluruh elemen kehidupan ini kepada sistem Allah SWT.

Ustaz Zamri
Timbalan Mufti Perak Hashim
YDP Isma Ipoh

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ismaweb.net

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close