Berita UtamaUtama

Dunia kena bertindak terhadap kekejaman Israel

Sampai bila negara Islam pejam mata biarkan Zionis bertindak zalim?

BANGI, 21 Zulkaedah 1440H, Selasa – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab didesak campur tangan dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab rejim Israel yang mengerahkan tenteranya merobohkan kediaman penduduk Palestin di perkampungan Sur Baher, Baitulmaqdis Timur.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, alasan keselamatan digunakan Israel tidak boleh diterima kerana pencerobohan tanah penduduk Palestin adalah bagi meluaskan kawasan serta membina penempatan haram.

“Walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) membantah perobohan itu, Israel tetap angkuh dan melaksanakannya.

“Apa yang jelas hari ini, Israel sekali lagi melanggar perjanjian yang ditandatanganinya di Oslo, Norway pada tahun 1993 dengan menceroboh kawasan pemerintahan Kerajaan Palestin dan Resolusi 446 PBB yang melarang Israel menceroboh, membina dan memindahkan penduduk Israel ke wilayah Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Hadi berkata, negara-negara Islam juga digesa memberikan sokongan padu dan berdiri teguh bersama Palestin dan rakyatnya daripada kekejaman rejim Israel.

“Dunia harus bertindak di atas kekejaman Israel dan mengenakan sekatan sama ada politik mahupun ekonomi terhadap rejim itu. Sudah sampai masanya dunia bertindak membela nasib rakyat Palestin,” tegas beliau.

Pada masa sama, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menggesa Majlis Keselamatan PBB bertindak tegas ke atas rejim Israel.

Ia berikutan, walaupun pelbagai resolusi dan tekanan dikenakan terhadap rejim Israel, namun mereka tetap meneruskan agenda mereka kerana dilindungi oleh beberapa negara kuasa besar dunia.

“Dunia perlu bersatu melabelkan Israel sebagai negara pengganas. Mereka membunuh, merogol, menghalau warga Palestin daripada negeri mereka tidak kira kanak-kanak, wanita atau warga emas.

“Hanya pengganas sahaja yang mampu dan berupaya berbuat demikian. Sampai bilakah kita sebagai negara dan umat Islam memejam mata dan membiarkan Israel bertindak demikian?

“Selagi mana Islam dan umatnya tidak bersatu padu dan berpegang dengan ajaran agamanya, selagi itulah Islam dan umatnya lemah dan akan diperkotak-katikkan oleh musuh-musuhnya,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close