Berita UtamaUtama

40 gula-gula ‘Ghost Smoke’ diimport dari China dirampas

Produk tiada tanda harga dipercayai guna label, logo halal diragui

KOTA BHARU, 21 Zulkaedah 1440H, Selasa – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas 40 unit gula-gula “Ghost Smoke” di sebuah premis di Kota Bharu menerusi satu pemeriksaan hari ini.

Pengarahnya, Adnan Abd Rahman berkata, pemeriksaan itu dilakukan hasil aduan orang awam yang mendakwa gula-gula ‘berasap’ itu dijual kepada pelajar sebuah sekolah rendah berdekatan premis itu.

“Pegawai penguatkuasa kami telah menjalankan pemeriksaan ke atas premis yang diadukan dan beberapa premis lain terutama berhampiran kawasan sekolah dan kawasan sempadan negara di seluruh negeri Kelantan.

“Hasil pemeriksaan telah menjumpai lebih kurang 40 unit ‘Ghost Smoke Cool Fruit Powder’ dijual di sebuah premis berhampiran sebuah sekolah di Kota Bharu yang dijual dengan harga 50 sen seunit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Adnan berkata, siasatan lanjut mendapati gula-gula berkenaan menggunakan label yang mengelirukan, logo halal yang diragui selain tiada tanda harga.

Katanya, semua produk berkenaan telah dirampas dan kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM250,000 bagi pertubuhan perbadanan atau didenda tidak melebihi RM100,000 bagi bukan pertubuhan atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu katanya, pemeriksaan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembekal barang itu yang dipercayai diimport dari China.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menghantar sampel produk berkenaan kepada Jabatan Kesihatan bagi mengenalpasti kandungan produk berkenaan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, mahu penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’ yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut dihentikan segera.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada masa yang sama meminta ibu bapa meningkatkan pemantauan ke atas anak masing-masing. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close