Berita Utama

PRN Melaka: Polis sahkan PKR dikompaun RM10,000

Mengingkari larangan Kementerian Kesihatan dengan mengadakan ceramah bergerak

MELAKA, 24 Rabiulawal 1443H, Ahad ­– Polis hari ini mengesahkan telah mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana mengingkari larangan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan mengadakan ceramah bergerak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka ACP Azlan Abu berkata, kompaun itu dikeluarkan selaras dengan peruntukan 16 P.U (A) 293 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Polis telah meminta penganjur untuk memberhentikan program tersebut kerana prosedur operasi standard Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara melarang apa-apa program berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan apa-apa yang boleh menyebabkan kehadiran orang ramai di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dilakukan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, yang mengesahkan perkara itu dalam sidang media hari ini, meminta KKM dan Kementerian Dalam Negeri memperinci kaedah kempen yang boleh dilakukan sepanjang PRN Melaka.

Sebelum ini, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Barisan Nasional (BN) turut dikompaun kerana melanggar larangan itu.

Pada 24 Okt lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dipetik sebagai berkata, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk penganjuran majlis pelancaran jentera pilihan raya tidak dibenarkan berkuat kuasa 25 Okt hingga 27 Nov ini.

Tindakan berkenaan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan dan peningkatan kes mendadak COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button