Berita UtamaUtama

Saman 1MDB terhadap pemilik tanah dipindah ke Pulau Pinang

Tan didakwa langgar perjanjian babitkan tanah 234.7 ekar di Air Itam

KUALA LUMPUR, 20 Zulkaedah 1440H, Isnin – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membenarkan permohonan seorang pemilik tanah yang disaman RM6 juta oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kerana didakwa melanggar perjanjian, membabitkan tanah seluas 234.7 ekar di Air Itam, Pulau Pinang, untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Peguam Theomus Foo Chee Wai, mewakili Tan Jiak Chye (pemilik tanah) memberitahu pemberita bahawa Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu di dalam kamar hari ini.

“Tiada bantahan bagi permohonan kami. Jadi, mahkamah bersetuju untuk memindahkan kes ini sebab semua perkara yang terbabit adalah di Pulau Pinang.

“Kes ini akan didengar bersama-sama dengan satu lagi kes saman sivil yang difailkan anak guam saya terhadap 1MDB di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, sebelum saman ini difailkan,” katanya sambil menambah, kedua-dua kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 1 Ogos.

1MDB selaku plaintif, memfailkan saman itu pada 30 April tahun ini dengan menamakan Tan, 64, sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, 1MDB sedang dalam proses memperoleh saham atau kepentingan tidak berbelah bahagi dalam beberapa bidang tanah, yang terletak di sekitar pekan Air Itam meliputi kawasan seluas kira-kira 234.7 ekar.

1MDB mendakwa, sepucuk surat bertarikh 3 Mei 2013 dihantar kepada Tan mencadangkan untuk menukarkan saham atau kepentingan tidak berbelah bahagi dalam tanah di Air Itam Estate dengan Tan.

Plaintif mendakwa, Tan menerima cadangan yang terkandung dalam surat itu dan membayar RM6 juta mengikut perjanjian oleh 1MDB pada hari sama.

Bagaimanapun, ia mendakwa dalam melanggar perjanjian itu, Tan telah gagal, enggan dan/atau tidak melaksanakan tanggungjawabnya di bawah perjanian itu untuk menukar atau memperoleh persetujuan perjanjian daripada pemegang yang lain, untuk menukarkan tanah itu dengan 1MDB atau subsidiarinya.

1MDB menegaskan di bawah perjanjian itu, Tan berkewajiban dan tertakluk untuk mengembalikan RM6 juta kepada syarikat apabila pertukaran tanah gagal dilaksanakan atas alasan, kegagalan Tan untuk menukar atau memperoleh persetujuan pemegang lain untuk menukarkan tanah itu dengan syarikat atau subsidiarinya. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close