AgamaBerita UtamaUtama

Ringkasan bicara 8 perkara

Maslahah paling pokok dalam politik ialah menjaga agama

1- al-Hakimiyah Lillah (الحاكمية لله) dipopularkan penggunaannya oleh Syed Qutb, merujuk kepada iktikad (pegangan akidah) muslim dan mukmin bahawa Allah Taala adalah pemilik dan pemerintah mutlak alam semesta ini, yang manusia sebagai hamba-Nya mesti patuh dan tunduk.

Perbahasan beliau mencakupi skop individu, keluarga, masyarakat, negara dan antarabangsa, malah sistem alam wujud ini.

Prof Dr Solah as-Sowy pula menggunakan istilah as-Siyadah li as-Syar’i (السيادة للشرع), merujuk pengertian yang sama tetapi perbahasan beliau lebih banyak menumpu dalam skop pemerintahan dan kenegaraan.

Iktikad bahawa Allah Taala adalah pencipta, pemilik, pemerintah mutlak, yang perintah-Nya adalah yang tertinggi dalam segenap bidang kehidupan, termasuk politik, yang tiada syura mahupun ijtihad yang boleh membatalkan perintah-Nya, adalah perkara terlalu asas (اصل الاصول) yang menjadi asas kepada iktikad yang lain dalam akidah Islam. Iktikad yang menolak al-Hakimiyah Lillah atau as-Siyadah li as-Syar’i adalah terkeluar daripada Islam.

2- Namun tiada sesiapa yang boleh mengatakan mana-mana orang terkeluar daripada Islam. Pihak yang boleh mengeluarkan fatwa terkeluarnya seseorang daripada Islam hanyalah Ulil Amri, dengan syarat mempunyai bukti yang qat’ie (putus dan muktamad, tiada boleh ditafsirkan selain kufur), serta mengambil kira implikasi fatwa itu ke atas pelbagai peringkat maslahah umat Islam.

Pegangan Ahlu Sunnah wal Jamaah ialah seseorang itu dikira muslim cukup dengan bukti zhonni (tidak putus dan tidak muktamad), tetapi memerlukan bukti qat’ie untuk mengira seseorang itu telah terkeluar daripada Islam. Setiap lafaz, apatah lagi tindakan, mempunyai maksud tertentu yang perlu diteliti dan diselidiki. Oleh itu, perangai takfir (mengkafirkan) orang bukan perangai Ahlu Sunnah wal Jamaah, ketahuilah.

3- Maqasid Syariah ialah mengenai kehendak Allah Taala ke atas makhluk-Nya di sebalik pensyariatan manhaj (cara) hidup yang mengandungi aspek iktikad, akhlak dan hukum.

Maqasid Syariah dikenal pasti melalui istiqra’ (analisis induktif) ke atas iktikad-iktikad, akhlak-akhlak dan hukum-hukum yang telah disyariatkan serta dalil-dalil setiap iktikad, akhlak dan hukum tersebut (turut dianalisis), sama ada dalil-dalil itu berbentuk nas-nas al-Quran dan hadis mahupun dalil ijma, termasuk juga dalil kulliy yang telah sekian lama disusun oleh ulama dalam bentuk Qawa’id Aqidiyah, Usuliah dan Fiqhiyah.

Maqasid Syariah adalah roh hukum. Memisahkan roh daripada hukum akan mematikan hukum dan mengapungkan kehendak Allah Taala terpisah daripada perintah-perintah-Nya (termasuk nas-nas-Nya).

4- Syariah ditetapkan dan diturunkan oleh Allah Taala untuk maslahah (manfaat) seluruh umat manusia. Setiap perintah Allah dan Rasul-Nya adalah maslahah untuk manusia.

Setiap maslahah yang tiada perintah spesifik mengenainya pula adalah syariat selagi mana menepati garis panduan (dhawabit); (i) tidak keluar daripada kerangka maqasid syariah, tidak bertentangan dengan mana-mana nas al-Quran dan as-Sunnah, tidak melanggar ijma’ dan qias, serta tidak melanggar maslahah yang lebih penting.

Maslahah adalah satu bab yang penting dan besar dalam maqasid syariah. Segala qawa’id dan dhawabit berkaitan maslahah hendaklah dikuasai dan diaplikasikan terlebih dahulu, jika mahu menguasai mengenai maqasid syariah. Berbicara mengenai maslahah tanpa qawa’id dan dhawabit tersebut, adalah umpama melayangkan layang-layang tanpa tali. Itu bab maslahah, apatah lagi maqasid syariah.

5- Siyasah ialah apa-apa tindakan (perbuatan mukallaf yang ada implikasi pahala dan dosa) yang menyebabkan manusia lebih dekat kepada maslahah dan menjauhkan mereka daripada kerosakan (mafsadah), walaupun tindakan itu tidak mempunyai nas spesifik mengenainya dan tidak pernah pula Rasulullah memperaturankannya, selagi mana menepati (tidak bertentangan) syara’.

Ruang lingkup siyasah terlalu besar (pemerintahan, perundangan, pendidikan, kewangan, ekonomi, kebajikan warga emas dan sebagainya) dan tidak akan ada penghujungnya sehingga ke Hari Kiamat. Hubungan antara maqasid syariah, maslahah dan siyasah ialah Allah Taala menghendaki (maqasid syariah) maslahah untuk para hamba-Nya, manakala tindakan-tindakan untuk mendapatkan maslahah itu dinamakan siyasah, sama ada maslahah yang terkandung dalam perintah-perintah-Nya yang spesifik mahupun maslahah yang tidak punyai perintah spesifik menurut dhawabit yang diterangkan dalam noktah ke-4 di atas.

6- Politik ialah apa-apa tindakan berkaitan urusan pemerintahan sesebuah negara yang memerlukan kuasa. Politik satu juzuk daripada siyasah, justeru, topik maslahah adalah paksi dalam politik. Maslahah paling pokok dalam politik ialah menjaga agama; agar sentiasa subur berkembang dan terhindar daripada faktor-faktor yang mengancam.

Maslahah paling pokok ini diungkapkan oleh ulama sebagai fungsi pemerintah. Malah, Imam al-Ghazali menyifatkan kuasa dan agama sebagai kembar. Maslahah menjaga agama adalah kehendak Allah (maqasid syariah) nombor satu dan asas bagi segala maqasid yang lain.

Jika menjaga agama itu ialah maqasid, maka kuasa ialah wasilah untuk mencapai maqasid. Perkara ini kembali perbahasan asas syara’nya dalam bab al-Awamir dalam ilmu Usul Fiqh dan dalam bab Wasail al-Maqasid dalam ilmu maqasid syariah. Untuk menjaga agama, kuasa (dominan) politik mesti di tangan muslim. Realiti hari ini tidak begitu.

7- Sekularisme ialah fahaman yang memisahkan kuasa daripada agama, yang bertentangan dengan kehendak Allah Taala (maqasid syariah) agar maslahah agama dijaga dengan kuasa (politik).

Sehubungan itu, menyokong parti yang memperjuangkan sekularisme adalah tindakan politik yang bertentangan dengan maslahah menjaga agama sekali gus berlawanan dengan maqasid syariah dalam bab politik. Siyasah dan politik ialah mengenai perbuatan mukallaf, maka ia tertakluk pada hukum dan implikasi dosa dan pahala.

Ironinya, pihak yang mewacanakan maqasid syariah mutakhir ini ialah juga pihak menyokong parti yang memperjuangkan sekularisme, malah menguasakan mereka.

8- Kebanyakan ijtihad politik di Malaysia hari ini bukan ijtihad dalam erti kata sebenar. Ini kerana ijtihad bermaksud berhabis-habisan dalam usaha mengenal pasti hukum Allah.

Adakah dinamakan berhabis-habisan jika tiada kertas kajian yang lengkap dengan segala fakta dan dalil mengikut methodologi kajian yang betul? Jika ada kertasnya, adakah sudah berhabis-habisan diberikan ruang untuk kritikan yang membina terhadap kertas itu sama ada dalam bentuk bersemuka melalui kertas kajian seumpamanya juga daripada pelbagai pihak mahupun dalam bentuk ‘review’ secara bertulis daripada ulama pelbagai aliran?

Apa yang berlaku ialah mengusung tokoh dari luar negara atau mempersilakan tokoh tempatan sealiran membentangkan idea secara sehala. Ini semua bukan ijtihad.

Wallahu a’lam

Mohd Hazizi bin Ab Rahman

Nota: Noktah nombor (i) berkait dengan akidah.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close