Berita UtamaUtama

Jadikan Tahun Melawat Malaysia 2020 misi nasional

Keramahan rakyat tarik minat pelancong tinggal lama, datang semula

PUTRAJAYA, 20 Zulkaedah 1440H, Isnin – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa rakyat Malaysia agar menjadikan Tahun Melawat Malaysia 2020 sebagai misi nasional dengan bercerita dan berkongsi mengenai kecantikan, keamanan dan keindahan negara ini.

Beliau berkata, setiap orang ada peranan yang perlu dimainkan untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 di mana, kerajaan akan memastikan kempen itu akan menjadi pemangkin untuk mencapai sasaran-sasaran yang telah ditetapkan bawah Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia.

“Keramah-tamahan kita bukan sekadar satu slogan tetapi diterjemahkan sebagai sifat semula jadi dan budaya rakyat negara kita.

“Keindahan sesuatu tempat itu akan menarik orang untuk datang tetapi keramah-tamahan penduduknya akan membuat orang tinggal lama dan datang semula,” katanya pada pelancaran Logo Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Dr Mahathir berkata, pelancongan adalah satu daripada sektor terpenting dalam memastikan ekonomi dan sektor perkhidmatan negara berkembang, kerana ia bukan sahaja boleh menjana pendapatan, tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan.

Beliau berkata, kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 adalah satu peluang selain menjadi satu cabaran buat negara untuk menarik jumlah rekod kedatangan pelancong ke negara ini, sebagai destinasi pilihan bagi pelancong sama ada yang datang untuk bersantai atau berniaga.

“Adalah diharapkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 akan berjaya mencapai sasarannya untuk menarik kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa dan RM100 juta resit pelancongan,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata, kertersambungan penerbangan dari destinasi-destinasi lain ke Malaysia adalah satu daripada inisiatif untuk meningkatkan kedatangan pelancong ke Malaysia dan mencapai sasaran kempen.

“Kita mempunyai kemudahan udara yang lebih baik yang menghubungkan bandar raya-bandar raya lain dengan Malaysia, kita mampu menerima kedatangan lebih ramai pelancong,” kata beliau. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close