Berita UtamaUtama

PBT kena tegas luluskan taman perumahan guna nama Melayu

Nama bahasa asing tidak lagi bawa makna kepada identiti negara

BANGI, 18 Zulkaedah 1440H, Ahad – Selain bahasa Melayu, tulisan jawi juga perlu diperkenalkan semula dalam semua papan tanda yang diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT), syor Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim).

Saranan itu dibuat selepas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang menguatkuasakan undang-undang supaya semua taman perumahan baharu menggunakan nama bahasa Melayu.

Terdahulu, Menterinya, Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, kementeriannya bersedia melaksanakan undang-undang yang dicadangkan orang awam berkaitan perkara itu.

Beliau turut memaklumkan akan membincangkan pelaksanaan peraturan itu dengan PBT dan garis panduan mengenainya akan disediakan tidak lama lagi.

“Untuk menguatkuasakan udang-undang berkenaan, PBT perlu tegas dan hanya meluluskan taman perumahan menggunakan nama Melayu.

“Kelulusan nama taman berkenaan bergantung kepada PBT. Ketika ini, ada taman perumahan menggunakan nama (dalam) bahasa Inggeris kerana pemajunya daripada luar dan mereka mahu menamakannya mengikut cita rasa sendiri. Dalam konteks ini, PBT memberikan kelonggaran,” kata Zuraida.

Menyambut baik cadangan itu, Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, cadangan itu selaras dengan imej Malaysia sebagai negara yang berdasarkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan sebagai teras membangunkan watak negara ini.

“Kami berpendirian nama dan jalan di taman perumahan perlu mengguna bahasa Melayu kerana negara ini kaya dengan istilah bahasa tempatan yang baik. Malah bahasa Melayu dapat memperkenalkan pelbagai nama yang secocok dengan budaya tempatan di tanah air,” katanya dalam satu kenyataan

Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa nama daripada bahasa asing tidak lagi membawa makna kepada identiti negara.

“Pemaju perumahan termasuk syarikat pemaju luar mesti dididik untuk memahami budaya tempatan. Justeru, dari segi pelaksanaan, PBT dan garis panduan mengenainya perlu mempunyai terma rujukan agar standard bahasa yang betul diguna.

“Kami bersetuju jika udang-undang berkenaan diwujudkan, PBT perlu tegas dan hanya meluluskan taman perumahan menggunakan nama Melayu,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close