Berita UtamaDuniaUtama

Iraq tangkap suspek utama bunuh diplomat Turki

Kakak suspek penggubal undang-undang Kurdis di Turki

ERBIL, 18 Zulkaedah 1440H, Ahad – Suspek utama pembunuhan diplomat Turki di bandar Erbil, Iraq telah ditangkap, umum pihak berkuasa di wilayah separa autonomi Kurdis semalam.

“Kerajaan wilayah Kurdis mengumumkan penangkapan seorang lelaki yang merancang pembunuhan diplomat Turki di sebuah restoran di Erbil kurang daripada seminggu selepas serangan,” kata pasukan keselamatan Kurdis dikenali sebagai Asayesh dalam satu kenyataan.

Serangan pengganas dilakukan pada hari Rabu di mana seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan kepada sekumpulan diplomat Turki di sebuah restoran dengan menggunakan dua pucuk pistol menyebabkan Timbalan konsul Turki, Osman Kose maut.

Sumber polis berkata, dua rakyat Iraq turut terbunuh dalam serangan itu. Difahamkan, serangan itu berlaku beberapa minggu selepas Turki melancarkan serangan ketenteraan baru terhadap pejuang pemisah Kurdis yang terletak di utara Iraq.

Tidak ada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu, tetapi ramai pakar Iraq berpendapat bahawa Parti Pekerja Kudistan (PKK), iaitu pemisah Turki, dianggap Ankara sebagai kumpulan pengganas, dalang di sebalik serangan itu.

Sejak Mei lalu, Turki menjalankan kempen serangan dan pengeboman di rantau utara pergunungan untuk melemahkan PKK, yang melancarkan pemberontakan melawan Turki sejak 1984.

Awal bulan ini, PKK mengumumkan bahawa salah satu daripada serangan itu membunuh pemimpin kanan PKK, Diyar Gharib Mohammed bersama dua pengikut lain.

Dalam kenyataan dikeluarkan Asayesh yang tidak menyebut nama suspek bagaimanapun berkata, ‘laporan menunjukkan’ bahawa kakak kepada suspek berkhidmat di Turki sebagai penggubal undang-undang Kurdis.

Sementara kenyataan berasingan daripada Bahagian Counter Terrorism, satu lagi pasukan keselamatan Kurdis mengenal pasti lelaki bersenjata itu dikenali sebagai Mazlum Dag, 27.

Menurut agensi berita Turki, Anadolu, suspek ialah abang kepada Dersim Dag, ahli parti pro-Kurdis – Parti Demokrasi Rakyat (HDP).

Terdahulu, polis menyiarkan gambar suspek yang dilahirkan di Diyarbakir, Turki pada 1992 dan meminta penduduk tempatan membantu mereka memberkasnya. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close