Berita UtamaUtama

‘Usah pandang remeh kes Exco Perak rogol amah Indonesia’

PDRM perlu ketepikan politik, utamakan prinsip undang-undang

BANGI, 17 Zulkaedah 1440H, Sabtu – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diingatkan tidak memandang ringan kes seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun yang mendakwa dirogol majikan yang juga Exco kerajaan negeri Perak, baru-baru ini.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihak berwajib mesti melaksanakan tanggungjawab dengan telus dan seadilnya terhadap mangsa dan Exco kerajaan negeri itu.

“Hubungan Malaysia Indonesia yang terjalin baik selama ini mesti dipelihara. Pasti Indonesia sedang melihat dan menilai bagaimana pembelaan terhadap rakyatnya. Apatah lagi media di Indonesia telah melaporkannya secara meluas. Ia boleh jejaskan nama Malaysia.

“Kita tahu. Pasti tidak boleh menghukum perbuatan itu selagi proses keadilan tidak memutuskannya. Ini prinsipnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong menggesa pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetepikan soal politik, sekali gus menegakkan prinsip undang-undang kerana kes berkenaan adalah perkara besar.

“Dan sekali lagi ‘rule of law ‘ di Malaysia diuji. Jangan lupa rakyat Malaysia juga ada di Indonesia,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ahli Exco kerajaan negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong dikaitkan dengan tuduhan rogol berikutan laporan polis yang dibuat seorang pembantu rumah warga Indonesia pada 8 Julai lalu yang mendakwa dirogol Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh daripada DAP itu.

Wanita berusia 23 tahun itu dikatakan dirogol di rumah majikannya di Meru sehari sebelum laporan dibuat.

Difahamkan, kertas siasatan berhubung kes itu telah diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Perak untuk tindakan selanjutnya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close