Berita UtamaUncategorizedUtama

Loji rawatan air kembali operasi

Air Selangor masih stabilkan paras kolam, tekanan sistem agihan

SHAH ALAM, 17 Zulkaedah 1440H, Sabtu – Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang yang dihentikan operasinya petang semalam akibat pencemaran bau, telah kembali beroperasi sepenuhnya pagi ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, bagaimanapun pihaknya masih meningkatkan serta menstabilkan paras kolam dan tekanan di sistem agihan bagi proses pemulihan air secara berperingkat ke seluruh kawasan terlibat.

“Berdasarkan pemantauan sehingga 6 pagi ini, peratusan pemulihan keseluruhan kawasan masih lagi rendah iaitu di tahap 19 peratus dan pihak kami tidak dapat memberikan jangka masa pemulihan mengikut kawasan buat masa ini.

Unit Kualiti Air Selangor dengan kerjasama pihak LUAS (Lembaga Urus Air Selangor) serta Majlis Daerah Hulu Selangor telah menjalankan siasatan dan hasil siasatan punca pencemaran bau yang tinggi adalah dari kawasan Sungai Liam, Batang Kali, Hulu Selangor, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata sehubungan itu, pihaknya turut mengaktifkan 16 Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 17 lokasi Pili Awam, bermula 9 pagi ini bagi mengagihkan bantuan air kecemasan kepada pelanggan yang terjejas.

Abdul Raof berkata, memandangkan gangguan air itu melibatkan kawasan berskala besar, pihaknya tidak dapat menyediakan bantuan bekalan air melalui lori tangki air kepada semua pelanggan yang terjejas.

“Bantuan lori tangki air digerakkan dengan keutamaan kepada pelanggan dan premis kritikal serta kecemasan.

” Pihak kami dengan bantuan agensi-agensi yang berkaitan sedang berusaha sedaya upaya untuk memberi bantuan dan mempercepatkan pemulihan ke semua kawasan yang terlibat,” katanya.

Katanya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan status terkini gangguan bekalan air itu boleh melayari laman sesawang www.syabas.com,my , Facebook “Air Selangor” dan Twitter @airselangor atau menghubungi talian 15300.

Semalam 1,133 kawasan melibatkan 1,166,842 akaun pelanggan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas dengan gangguan air tidak berjadual ekoran insiden pencemaran berkenaan.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close