Berita UtamaDuniaPalestinUtama

98 rakyat Palestin cedera angkara pengganas Israel

49 penunjuk perasaan termasuk paramedik ditembak peluru hidup

GAZA, 17 Zulkaedah 1440H, Sabtu – Sekurang-kurangnya 98 penunjuk perasaan Palestin cedera ditembak rejim pengganas Israel ketika protes mingguan di sempadan Gaza-Israel – The Great March of Return – semalam, lapor Kementerian Kesihatan Gaza.

Kementerian itu berkata, seramai 49 penunjuk perasaan termasuk empat paramedik cedera akibat terkena peluru hidup yang ditembak oleh askar rejim Israel manakala selebihnya cedera akibat peluru getah.

Agensi berita rasmi Palestin, Wafa melaporkan, sebahagian mereka yang cedera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, malah ada juga yang dirawat di hospital lapangan.

Dalam protes yang sama, puluhan penunjuk perasaan turut terkena gas pemedih mata yang dilepaskan rejim.

‘The Great March of Return’ adalah protes yang dilancarkan pada 30 Mac tahun lalu oleh ribuan rakyat Palestin di Gaza – kerana menderita akibat pengepungan Israel selama sedekad.

Penduduk Palestin menuntut hak untuk pulang ke tanah air mereka yang diduduki secara haram oleh rejim Zionis Israel sejak Mei 1948.

Langkah itu terpaksa diambil berikutan kesulitan hidup di Gaza serta ancaman yang sengaja dicetuskan pihak berkuasa Israel terhadap Baitulmaqdis.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan, rejim Israel membunuh sekurang-kurangnya 305 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 17,000 yang lain sejak awal perarakan. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close