Berita UtamaUtama

Vape: iGuru gesa gubal akta

Kolaborasi sekolah, PIBG penting tangani isu rokok elektronik

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 16 Zulkaedah 1440H, Jumaat – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa menggubal akta khusus berkaitan bahaya rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah bagi membendung penggunaan secara berleluasa.

Gesaan oleh Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) susulan tular penjualan vape berbentuk jam tangan yang dikatakan ketika ini menular penggunaanya dalam kalangan pelajar sekolah.

Mengulas perkara itu, Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, pihak sekolah perlu mengambil tindakan tegas kepada pelajar yang menghisap vape serta menjadikan sekolah sebagai kawasan larangan merokok.

Katanya, kolaborasi antara pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) juga penting untuk menangani isu ini seperti mengadakan kempen kesedaran ‘say no vape’, klinik kesedaran hidup sihat serta jaringan dengan agensi kerajaan seperti Pejabat Kesihatan, Jabatan Agama dan Pejabat Mufti yang mengeluarkan fatwa pengharaman merokok.

“Sekolah juga boleh mengadakan hubungan kerjasama dengan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) kesihatan atau gerakan antirokok untuk mengatasi gejala ini sekali gus mengurangkan beban sekolah,” katanya kepada Ismaweb.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye dilaporkan berkata, rang undang-undang baharu berkaitan kawalan pengunaan rokok elektronik atau vape dan sisha dijangka dibentang di Parlimen pada akhir tahun ini atau sesi tahun depan.

Beliau berkata, jawatankuasa khas berkaitan isu itu yang dipengerusikan olehnya ketika ini sedang merangka undang-undang baharu berkenaan memandangkan pihaknya masih memerlukan pandangan semua pihak termasuk pembabitan pemegang taruh.

“Jawatankuasa khas ini baharu diwujudkan minggu lepas dan kami akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk mencari kaedah terbaik mengawal penggunaan vape, sisha dan juga rokok.

“Kita tahu bahawa 90 peratus daripada kandungan cecair vape mengandungi nikotin yang boleh menyebabkan ketagihan kepada bahan itu.

“Apa yang kita lihat, pengguna vape pada mulanya menganggap menghisap vape sebagai satu trend namun ketagihan itu dibimbangi mampu mendorong pula untuk bertukar kepada menghisap rokok,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close