Berita UtamaUtama

Sejarah Melayu penting untuk bina tamadun Malaysia moden

Kumpul manuskrip mengenai sejarah Melayu lama untuk diterbit semula

SHAH ALAM, 16 Zulkaedah 1440H, Jumaat – Kekayaan budaya, seni dan sejarah masyarakat Melayu perlu ditonjolkan untuk menjadi asas kepada pembinaan tamadun Malaysia moden.

Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berkata, masyarakat di Malaysia tidak yakin untuk membina tamadun Malaysia moden kerana tidak faham sejarah di negara sendiri. 

“Kita sedang dalam usaha untuk mengumpulkan koleksi manuskrip mengenai sejarah Melayu lama yang diambil dari perpustakaan negara, ada juga di perpustakaan di luar negara juga seperti di Denmark, Jerman dan London untuk diterbitkan kembali.”

“Ini merupakan monumen bagi tamadun Melayu dan kita sebagai Sarjana Melayu juga sedang mengkaji dan menggali pemikiran yang terdapat dalam manuskrip lama itu untuk ditonjolkan kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas Program Bicara Tokoh, di sini hari ini.

Turut hadir pelukis terkenal, Ismail Embong.

Beliau berkata, pihaknya turut akan mengadakan pameran lukisan sejarah Melayu untuk mengajak masyarakat terutama golongan belia mempelajari semangat perjuangan melalui lukisan.

“Kita akan mempamerkan lukisan sejarah yang dilukis oleh Ismail agar masyarakat dapat melihatnya secara visual serta mudah difahami terutamanya bagi golongan belia yang sering didedahkan dengan pentafsiran sejarah yang lemah,” katanya.

Beliau berkata, pameran itu juga akan mengimbau kembali peristiwa bagaimana kedaulatan raja masih terpelihara walaupun tanah Melayu ditadbir oleh British ketika itu. – Bernama



Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close