Berita UtamaUtama

Polis tahan lelaki mengamuk

Kapak turut dirampas, sempat pukul warga asing ketika mabuk

JOHOR BAHRU, 16 Zulkaedah 1440H, Jumaat – Polis menahan seorang lelaki dan merampas sebilah kapak daripadanya, selepas dia mengamuk di hadapan sebuah restoran di Mutiara Rini, Skudai, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki berumur 34 tahun itu dipercayai dalam keadaan mabuk dan dia ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang pengadu iaitu lelaki berumur 22 tahun.

“Pengadu berkata, semasa dia berada di restoran berkenaan pada kira-kira 11.50 malam, lelaki bersenjatakan kapak itu menimbulkan kekacauan di kawasan itu dalam keadaan mabuk.

“Lelaki berkenaan turut memukul seorang lelaki warga asing lalu pengadu bertindak untuk membantu lelaki warga asing berkenaan, dan terus menghubungi pihak polis,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, sepasukan anggota peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri kemudian menahan lelaki terbabit pada 11.58 malam, di hadapan restoran itu selepas diserahkan oleh pengadu.

Beliau berkat,a polis turut merampas kapak berkenaan dan lelaki itu kini disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan cedera dan ugutan jenayah serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana membawa senjata berbahaya. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close