Berita Utama

Sekolah vernakular boleh jadi ‘bom jangka’ pada kedaulatan negara

Banyak bukti sekolah vernakular tinggalan penjajah jejas usaha perpaduan kaum

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 5 Muharram 1442H, Isnin – Sangat pelik apabila Malaysia masih bergelut dengan isu sistem pendidikan vernakular, meskipun negara sudah mencapai kemerdekaan selama 63 tahun.

Sekolah vernakular didakwa menjadi punca utama ketegangan kaum di negara ini, sehingga menyebabkan sikap prejudis sesama kaum masih menebal.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat berkata, negara sepatutnya sudah lama meninggalkan sekolah vernakular melalui sistem pendidikan satu aliran menerusi sekolah kebangsaan.

Beliau bimbang sekiranya sekolah vernakular kekal diterima sebagai salah satu aliran pendidikan kebangsaan, akan bertukar menjadi ‘bom jangka’ kepada kedaulatan negara.

“Sekolah vernakular adalah tinggalan penjajah yang melemahkan tiang utama pembinaan bangsa.

“Sudah banyak bukti menunjukkan sekolah vernakular menjejaskan usaha perpaduan kaum di Malaysia,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tiga pertubuhan memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah dalam saman yang difailkan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu bagi mencabar kewujudan sekolah vernakular di negara ini.

Permohonan itu difailkan Majlis Bahasa Cina, Persatuan Bahasa Tamil dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil, awal minggu lalu.

Peguam, T Gunaseelan berkata, dia akan memohon kes di Kota Bharu dipindahkan ke Kuala Lumpur untuk didengar bersama tindakan serupa yang difailkan di ibu negara, jika permohonan menjadi pencelah oleh anak guamnya berjaya.

Mengulas lanjut, Ustaz Shuhaib menegaskan bahawa sekolah vernakular telag mengabaikan penerapan bahasa Melayu sebagai identiti, kerana ia dijadikan sebagai bahasa kedua.

“Maka, lahirlah generasi demi generasi yang tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih, apatah lagi menghormati asas utama negara iaitu Islam, Melayu dan Raja,” katanya.

ISMA pada 8 Januari lalu ada memfailkan writ saman berhubung keabsahan sekolah vernakular.

Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya menegaskan, sudah tiba masanya mahkamah meletakkan satu titik pengakhiran terhadap sekolah vernakular yang sejak dahulu lagi mewujudkan polemik dalam memupuk perpaduan kaum di Malaysia.

Pada 16 November tahun lalu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), juga memfailkan writ saman bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa kewujudan sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil adalah bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button