Berita UtamaUtama

Pasir Gudang: Kena bertindak sekarang, jangan tangguh lagi

Menteri nampak sambil lewa, digesa tidak berat sebelah ambil tindakan

BANGI, 16 Zulkaedah 1440H, Jumaat – Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menggesa Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengambil langkah drastik menghukum pengusaha kilang yang menjadi punca pencemaran udara di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, baru-baru ini.

Ketua Pemudanya, Shahir Adnan berkata, tindakan tegas perlu diambil sekarang, tambahan pula insiden terbaharu yang berlaku di sekitar Masai sememangnya berkait dengan masalah pencemaran alam sekitar.

“Fakta menunjukkan Sungai Masai adalah sungai yang dikelaskan sebagai ‘Sungai Mati’ atau Sungai Kelas V. Sungai Mati merujuk kepada sungai yang paling buruk dan tidak selamat untuk sebarang penggunaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Amat dikesali katanya, menteri Yeo Bee Yin bersikap seolah-olah acuh tidak acuh mengurus tadbir tragedi ini, yang berlarutan hampir empat bulan.

“Sehingga hari ini, YB Yeo sekadar membuat kenyataan bahawa kementerian, JAS dan kerajaan negeri menggiatkan langkah penguatkuasaan ke atas kilang-kilang di Pasir Gudang.

“Malangnya, sehingga hari ini, hanya langkah reaktif yang dilaksanakan dengan memberikan alat pengesan gas kepada sekolah-sekolah di Pasir Gudang, pada awal bulan Julai.

“Namun, insiden sama terus berulang menyaksikan bahawa langkah ini bukanlah langkah penyelesaian kepada tragedi yang berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut, Shahir berkata, insiden di Sungai Kim-Kim telah memaksa ribuan pelajar dan penduduk tempatan mendapatkan rawatan di hospital dan berdepan pelbagai masalah kesihatan.

Katanya, semalam sahaja dilaporkan seramai 39 pelajar dari lima buah sekolah di Pasir Gudang mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas, sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berdekatan.

Justeru, Ikatan mendesak agar Yeo tidak memilih bulu menghukum pesalah, yang bertanggungjawab melepaskan gas-gas berbahaya melepasi paras dibenarkan.

“Tumpuan juga harus diberikan untuk memelihara sungai yang masih bersih dan memulihara sungai yang sudah mati. Khazanah alam sekitar perlu dipelihara seimbang dengan kepesatan pembangunan setempat,” katanya.

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close