Berita UtamaUtama

‘Pak belang’ akhirnya ditangkap

Operasi kesan seekor lagi harimau didakwa penduduk diteruskan

DUNGUN, 16 Zulkaedah 1440H, Jumaat – Seekor harimau jantan yang berkeliaran di Kampung Besul Lama, Bukit Besi di sini, semalam, akhirnya ditangkap dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, hari ini.

Pengarahnya, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, harimau daripada spesies Malaya yang dianggarkan seberat 130 kilogram itu ditangkap kira-kira jam 3.30 petang tadi selepas ditembak menggunakan ubat pelali.

Beliau berkata, haiwan yang dianggarkan berusia lima tahun itu ditangkap ketika sedang berehat di kawasan belukar sekitar 500 meter daripada jalan utama Kampung Besul Lama.

“Kita menggunakan kekuatan lapan anggota untuk mengangkat harimau itu ke atas lori.

“Ia (harimau) akan dihantar terus ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Perhilitan di Sungkai, Perak untuk menerima rawatan dan ditempatkan di sana,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Besul Lama selepas selesai operasi itu.

Dr Abdul Malek berkata, walaupun harimau itu telah ditangkap namun operasi mengesan seekor lagi harimau seperti didakwa penduduk masih diteruskan sehingga situasi benar-benar selamat.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Besul Lama, Nasharudin Mohd Salleh berkata, penduduk kampung kini boleh menarik nafas lega dan tidur lena dengan tertangkapnya haiwan liar berkenaan.

Beliau, yang mewakili penduduk kampung, mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pasukan polis dan Perhilitan yang bertugas 24 jam sehari menjaga keselamatan penduduk dan menjalankan operasi menangkap haiwan itu.

“Mengikut maklumat Perhilitan operasi akan dijalankan selama tiga hari lagi untuk mengesan seekor lagi harimau yang didakwa turut berkeliaran di sini.

“Bagaimanapun perkara itu (dua ekor harimau) hanya berdasarkan dakwaan penduduk kerana operasi yang dijalankan hanya menemui tapak kaki seekor harimau sahaja,” katanya. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close