Berita UtamaUtama

Dalang, semua terbabit video seks tak terlepas hukuman

Tertuduh juga dibenarkan membela diri jika tidak bersalah

SHAH ALAM, 16 Zulkaedah 1440H, Jumaat – “No man is above the law in this country (tiada sesiapa boleh terlepas daripada tindakan undang-undang di negara ini),” demikian tegas Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Amirudin Shari berhubung kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, bahawa wujud pakatan jahat yang didalangi oleh seorang pemimpin sebuah parti politik dalam kes pengedaran video seks berkaitan seorang menteri.

Amirudin berkata, dalang dan individu yang terbabit dalam pembikinan dan pengedaran video itu perlu dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya, tanpa mengira kedudukan dan status individu berkenaan.

“Bagaimanapun, keadilan juga harus diberikan kepada dia (yang dituduh) peluang untuk membela diri dan sebagainya jika dia percaya dia tidak melakukan kesalahan,” kata Menteri Besar Selangor itu kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Anak Istimewa Selangor di sini, hari ini.

Semalam, Abdul Hamid dilaporkan berkata, hasil siasatan polis terhadap kes video seks berkenaan mendapati wujud pakatan jahat yang didalangi oleh seorang pemimpin sebuah parti politik bertujuan mengaib serta menjatuhkan reputasi individu tertentu.

Ketika ditanya mengenai hasil proses pengecaman wajah (facial recognition) terhadap individu dalam video itu adalah negatif, Amirudin berkata, beliau bersyukur berikutan isu itu sudah terlerai.

“Alhamdulillah, semua dah terlerai, dan jangan kita sambung cerita macam ini, we should move on (kita perlu bergerak) ke hadapan,” katanya.

Tambah Amirudin, mereka yang terbabit dalam pembikinan video berkenaan adalah ketinggalan zaman, kerana rakyat telah lama menolak perbuatan politik kotor sedemikian.

Abdul Hamid dalam kenyataan yang sama semalam turut berkata, hasil analisis CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity) terhadap video seks berkenaan mendapati kebarangkalian video itu tulen adalah tinggi, bagaimanapun, hasil proses pengecaman wajah (facial recognition) adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku dalam video itu dengan individu yang dimaksudkan.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki, tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz, mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.

Setakat ini lapan orang termasuk Haziq Abdullah telah ditahan bagi membantu siasatan kes video itu. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close