Berita UtamaUtama

Tak ada masa fikir masalah dalaman PKR, kata Dr Mahathir

Akta Kebebasan Maklumat digubal ganti Akta Rahsia Rasmi 1972

PUTRAJAYA, 15 Zulkaedah 1440H, Khamis – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mahu diheret ke dalam kancah pergolakan yang sedang berlaku dalam PKR kerana beliau sibuk dengan perkara-perkara lain.

“Saya tidak ada masa untuk memikirkan perkara ini. Saya ada banyak perkara lain yang perlu difikirkan, termasuk menjawab soalan-soalan anda,” katanya ditanya media sama ada masalah dalam PKR menjadi satu beban kepada Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi telefon pintar Respons Rakyat (RR 2.0) dan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR), di sini hari ini.

Apabila ditanya sama ada masalah yang sedang melanda PKR menjadi beban kepada PH, Dr Mahathir berkata:

“Itu terpulang kepada anda untuk membuat penilaian, terima kasih.”

Ditanya sama ada pergolakan dalam PKR akan melambatkan penyerahan kuasa perdana menteri, beliau berkata:

“Itu akan berlaku pada masa depan. Kita akan selesaikannya apabila ia berlaku nanti pada masa depan”.

Pergolakan dalam PKR semakin ketara apabila 23 ahli Jawatankuasa Pusat PKR membidas presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mencadangkan timbalannya, Datuk Seri Azmin Ali, supaya meletak jawatan sekiranya terbukti terbabit dalam skandal seks yang sedang tular.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, Akta Kebebasan Maklumat akan digubal untuk menggantikan Akta Rahsia Rasmi 1972.

Katanya, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang bermesyuarat hari ini bersetuju secara prinsip bahawa tempoh masa yang mencukupi harus diberikan kepada proses penggubalan undang-undang itu.

“Ini dengan memfokus kepada sesi libat urus dan ‘outreach’ yang mencukupi dengan masyarakat,” katanya.

Mengenai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Untuk Melantik Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam beliau berkata, jawatankuasa itu akan menentukan pelantikan empat jawatan penting.

Jawatan itu ialah pengerusi dan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) serta Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

PSC ketika ini dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dan dianggotai Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian); Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang) dan Fong Kui Lun (Bukit Bintang).

Berbanding pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Loya baru-baru ini, Dr Mahathir berkata, beliau menggunakan prosedur sedia ada sepertimana yang telah termaktub di dalam akta bagi lantikan itu. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close