Berita UtamaUtama

PPIM gesa timbang semula kuat kuasa levi pelepasan udara

Perjalanan udara bukan kemewahan tetapi keperluan pihak tertentu

BANGI, 15 Zulkaedah 1440H, Khamis – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini menggesa kerajaan menimbang semula penguatkuasaan levi pelepasan bagi semua penumpang udara ke luar negara mulai September depan.

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, perjalanan udara bukan lagi suatu kemewahan, sebaliknya ia adalah keperluan sesetengah pihak seperti pelajar mahupun pesakit yang mendapatkan rawatan di luar negara.

Katanya, masyarakat sering menganggap hanya individu yang berkemampuan sahaja menaiki kapal terbang sedangkan kita lihat di lapangan terbang ramai golongan berpendapatan sederhana dan rendah juga menggunakan khidmat syarikat penerbangan.

Menerusi satu kenyataan, beliau turut menegaskan bahawa industri pelancongan perubatan di Malaysia yang semakin berkembang juga akan terkesan dengan penguatkuasaan levi pelepasan, dan ia dilihat sedikit sebanyak menjejaskan kedudukan negara sebagai pusat perubatan serantau.

“Impak yang lebih ketara akan memberi kesan kepada ketibaan pelancong secara keseluruhan terutamanya ketika negara mensasarkan ketibaan lebih 30 juta pelancong luar sempena Tahun Melawat Malaysia tahun hadapan (VMY2020) yang dijangka menjana pendapatan RM100 bilion untuk negara.

“Malah, kesan turut dijangka akan membabitkan industri pelancongan dan ekonomi negara secara keseluruhan, dan kesan lanjutan kepada hotel-hotel, pusat beli-belah, sehinggalah kepada pemandu teksi dan e-hailing yang bergantung pendapatan kepada industri ini,” katanya.

April lalu, Rang Undang-undang Levi Pelepasan 2019 telah diluluskan oleh Parlimen, yang antara lain akan menyediakan peruntukan untuk mengenakan levi pelepasan ke atas mana-mana individu yang meninggalkan negara dan perkara-perkara lain yang berkaitan.

Ketika membentangkan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mencadangkan supaya levi pelepasan dikenakan pada kadar RM20 seorang untuk penumpang yang terbang ke negara anggota ASEAN dan RM40 ke negara lain

Beliau turut memaklumkan bahawa jemaah haji dan umrah kali pertama dikecualikan daripada membayar levi pelepasan udara ke luar negara dan ia turut terpakai bagi penganut agama lain yang kali pertama mengerjakan ibadat mengikut agama masing-masing.

Menyambut baik perkara itu, Nadzim bagaimanapun berkata, garis panduan yang jelas juga harus dikeluarkan untuk mereka daripada agama lain.

“Kami mewakili pengguna di negara ini menyambut baik kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mohamaddin Ketapi untuk menunda pelaksanaan levi pelepasan ini setidak-tidaknya selepas Tahun Melawat Malaysia 2020 berakhir.

“Bagaimanapun, kita amat berharap agar levi pelepasan ini dihapuskan sepenuhnya, demi kepentingan pengguna Malaysia dan industri pelancongan kita,” kata Nadzim.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close