Berita UtamaUtama

Jho Low penipu, tak tepati masa

Saksi kes Najib tak percaya kepada ahli perniagaan yang sedang diburu

KUALA LUMPUR, 5 Zulkaedah 1440H, Khamis – Seorang saksi perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak hari ini menggambarkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, sebagai seorang yang tidak pernah menepati waktu dijanjikan dan penipu.

Bekas Pengarah Urusan Kumpulan Ambank, Cheah Tek Kuang, 72, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak pernah mempercayai lelaki itu.

“Saya boleh beritahu dia seorang yang macam mana, (dia) seorang yang tidak pernah menepati waktu. Kalau ada temu janji pada pukuI 1 tengah hari, dia akan datang pukul 1.30 tengah hari,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-50 itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh pada hari ke-49 perbicaraan bekas perdana menteri itu yang berdepan dengan tujuh tuduhan berkaitan salah guna dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Beliau berkata demikian selepas Harvinder menyoal beliau mengenai perbualan melalui mesej Blackberry antara bekas pengurus perhubungan Ambank Joanna Yu dan seorang lagi yang dipercayai Jho Low.

Cheah berkata, beliau tidak bercakap dengan Jho Low dan tidak mengetahui perbualan antara Yu dan lelaki itu.

“Apa yang dia katakan kepada Jho Low, saya tidak tahu. Saya tidak bercakap dengan Jho Low.

Ketika menjawab pertanyaan Harvinder mengenai sama ada saksi menyifatkan Jho Low sebagai penipu, beliau berkata: “Penipulah, saya tidak suka dia, benci dia. Tidak boleh rapat dengan orang yang macam ini,” katanya.

Semalam, saksi itu memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau bertemu Jho Low di rumah Najib di Jalan Langgak Duta berhubung permohonan bekas perdana menteri itu untuk membuka akaun bank di Ambank.

Turut memberi keterangan hari ini ialah bekas setiausaha syarikat SRC Chee Suwen dan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, S.Mageswary.

Sementara itu, Cheah juga berkata, beliau tidak menerima apa-apa surat daripada Najib yang menyatakan hasratnya untuk memulangkan semula wang AS$620 juta yang didepositkan ke dalam akaunnya pada 2013.

Beliau berkata, sebenarnya, surat itu tidak pernah dibawa ke perhatiannya.

Harvinderjit: Pada 2013, anda dimaklumkan bahawa pemegang akaun (Najib) ingin memulangkan wang dari akaun 694 kepada pengirimnya. Dalam surat oleh Najib, yang salinannya dihantar kepada anda, dia menyebut bahawa US$620 juta akan dikirim secara sekali pemindahan dari akaun Ambank, yang merupakan derma yang tidak digunakan, untuk dipulangkan kepada benefisiari yang akan disenaraikan kemudian.

Cheah: Sebenarnya, saya tidak menerima surat tersebut.

“Saya tahu Najib ingin memulangkan derma berjumlah US$620 juta itu kepada pengirimnya pada 2013 … Saya tahu perkara ini melalui Pengurus Hubungan Ambank Joanna Yu yang menghubungi saya untuk membantu mendapatkan kelulusan segera dari bank pusat,” katanya.

Harvinderjit: Jadi surat bertarikh Mac 2013 diberikan kepada anda oleh Joanna sebagai dokumen sokongan dalam akaun 694?

Cheah: Saya tidak buat apa-apa. Kerana pada masa itu, saya tidak lagi memegang jawatan eksekutif … jadi, dia mungkin telah bertemu orang lain.

Harvinderjit: Saya beranggapan bahawa anda telah membaca surat itu? Cheah menjawab “Saya tidak bersetuju.”

Harvinderjit: Berhubung dengan perbualan antara Joanna dan pemegang akaun, andaian anda ialah dia telah berhubung dengan Najib secara langsung? Cheah menjawab “ya.”

Harvinderjit: Saya membuat anggapan kepada anda bahawa dia (Joanna) telah bercakap dengan Jho Low, bukan Najib? Cheah menjawab “Saya tidak tahu.”

Harvinderjit: Pada 2011 dan 2012, sejumlah wang yang banyak masuk ke dalam akaun dan Joanna datang bertemu anda dan menjustifikasi bahawa wang yang diterima adalah hadiah dari Arab Saudi?

Cheah menjawab “ya.”

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi, saksi itu berkata beliau berada bersama-sama Najib ketika pemimpin itu menandatangani ketiga-tiga borang pembukaan akaun di rumahnya di Jalan Langgak Duta.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close