Berita UtamaUtama

320 kambing boer kena curi

8 lelaki bersenjata parang ceroboh ladang Osman Goat Farm

JOHOR BAHRU, 15 Zulkaedah 1440H, Khamis – Seorang pengusaha syarikat ternakan kambing dan tenusu kerugian RM300,000 apabila 320 ekor kambing jenis boer ternakannya dilarikan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di ladangnya di Seelong, dekat Kulai, dua hari lepas.

Pengarah Urusan Osman Goat Farm, Osman Cheya Kutty berkata, dalam kejadian kira-kira jam10.30 malam itu, lapan orang bertopeng dipercayai lelaki tempatan, bersarung tangan serta bersenjatakan parang panjang, memasuki ladang ternakannya sebelum melarikan semua haiwan terbabit menggunakan sebuah lori.

Beliau berkata, ketika kejadian hanya terdapat dua pekerja lelaki berumur 39 dan 42 tahun di ladang itu, dan selain kambing, suspek turut melarikan dua kotak ubat-ubatan ternakan.

“Kedua-dua pekerja itu diikat kaki dan tangan lalu diletakkan di dalam sebuah kontena yang sebelum ini jadikan tempat rehat.

“Salah seorang pekerja itu turut cedera ringan kerana dipukul oleh suspek kerana cuba melawan manakala barang-barang kedua-dua mereka, termasuk telefon bimbit turut dilarikan,” katanya yang dihubungi Bernama di sini hari ini.

Osman menegaskan dia kemudian dimaklumkan mengenai kejadian itu pada kira-kira jam 10.15 pagi semalam, selepas menerima panggilan telefon daripada kedua-dua pekerja berkenaan yang berjaya menyelamatkan diri.

Beliau berkata, kedua-dua pekerja itu berjaya meleraikan ikatan kaki dan tangan lalu menghubunginya dengan meminjam telefon bimbit milik seorang pemandu lori yang kebetulan melalui kawasan ladang, dan menurutnya kecurian kambing itu bagaimanapun, tidak menjejaskan perniagaannya.

“Untung rugi dalam perniagaan itu adalah biasa tetapi yang penting pekerja selamat. Walaupun 320 ekor kambing sudah dicuri, kami masih ada 3,000 hingga 4,000 ekor kambing daripada baka tempatan, Thailand serta Australia.

“Segala aktiviti dan program jualan raya korban pada 25 Julai ini akan berjalan seperti biasa termasuk Program Kambing Aqiqah RM1,” katanya yang membuat laporan berhubung kecurian itu pada kira-kira jam 12.40 tengah hari semalam di Balai Polis Kulai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut mengenainya sedang dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.

“Kita sedang melakukan siasatan untuk mengesan suspek-suspek. Pemilik ladang itu juga (Osman) memberitahu sebelum ini ladangnya pernah cuba dipecah masuk, namun dan tiada kerugian dialami,” katanya. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close